Isnin, 8 Oktober 2012

Ini Doktor ker Undertaker Buang Mayat Wanita Kat Taman?


SEOUL: Seorang doktor mengaku membuang mayat pesakitnya selepas dia secara tidak sengaja membunuh wanita terbabit dengan ubat penenang, kata polis semalam.

Menurut polis, pihak berkuasa kini menunggu waran tangkap rasmi ke atas doktor tempatan berusia 45 tahun itu hanya dikenali sebagai Kim.

Jurucakap polis berkata, suspek bertugas di sebuah pusat perubatan di daerah Gangnam, selatan Seoul. “Mangsa mendapatkan khidmat Kim kerana mengalami masalah sukar tidur di sebuah hospital,” katanya.

Jurucakap itu berkata, Kim kemudian memberi wanita terbabit dikenali sebagai Lee, 30, lima miligram ubat penenang tanpa menyatakan bagaimana ia sepatutnya dimakan.


“Suspek mendakwa, dia mendapati Lee tidak bernyawa apabila datang semula untuk membuat pemeriksaan lanjutan,” katanya. Selepas gagal menyelamatkan Lee, Kim meletak mayat wanita itu di kerusi roda dan menutup mukanya dengan topeng pembedahan.

Mayat itu kemudian dibawa ke sebuah taman di tebing sungai menggunakan kereta Kim sebelum ia ditinggalkan di situ. Kim menyerah kepada polis beberapa jam selepas orang ramai menemui mayat berkenaan. - AFP

Legenda Rocker John Graham Bersemadi dalam Gitar



LONDON: Seorang bekas pemain gitar kumpulan rock era 1960-an disemadikan dalam keranda berbentuk alat muzik itu, semalam.

Pernah menganggotai kumpulan The Ramrods, John Graham dikebumikan dalam keranda berbentuk gitar

Fender Stratocaster sepanjang kira-kira tiga meter. Kakitangan yang mengendalikan urusan mayat Graham menghasilkan masa berbulan-bulan untuk menyiapkan keranda berkenaan yang dicipta sempena gitar kegemaran pemuzik terbabit.


Dia menerima gitar model itu sebagai hadiah ketika berusia 15 tahun. Beratus-ratus peminat menghadiri majlis pengebumian Graham di sebuah gereja di Cheltenham, Gloucestershire.

Balu Graham, June, 63, berkata keranda itu adalah penghormatan paling sesuai diberi untuk suaminya.

“Seluruh hidupnya dihabiskan untuk bermain gitar.

“Dia adalah lelaki terhebat yang dapat anda impikan,” katanya. Menurut June, dia bersama Graham selama 20 tahun dan tidak pernah mendengar suaminya berkata sesuatu yang tidak menyenangkan.

“Sepanjang hidup bersama, kami sangat bahagia,” katanya. Majlis pengebumian Graham dihadiri ramai rakan, ahli keluarga, bekas anggota The Ramrods serta peminat mereka yang berpakaian hitam dan putih.

Ia dijalankan dengan iringan muzik serta lagu yang pernah dimainkan datuk kepada lima cucu dan lebih mesra dikenali dengan panggilan Johnny itu.

Kumpulan The Shadow of Cliff dipimpin Jimmy Jemain memainkan beberapa lagu pernah menjadi kegemaran Graham, termasuk Travelling Light, Born to Rock and Roll, Only Angel dan Johnny Be Good. - DM

Wanted - Peragut jam mewah diburu


CANNES (Perancis): Polis Perancis memburu penjenayah yang bertanggungjawab menyamun banyak jam tangan mewah daripada mangsa sekitar Riviera sejak dua minggu lalu.

Kejadian itu menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit. Antara mangsa mereka ialah seorang warga Russia yang kehilangan sebuah jam jenama Richard Mille bernilai 550,000 euro (RM2,105,608).

Kumpulan terbabit biasanya mengekori mangsa ke kereta menaiki motosikal.


Sejurus sebelum mangsa memulakan pemanduan, penjenayah terbabit sengaja menolak cermin sisi kenderaan itu.

Ketika mangsa mengeluarkan tangan untuk membetulkan cermin berkenaan, penunggang motosikal kedua akan meragut jam berkenaan. - AFP

200 polis alami gangguan seksual


OTTAWA: Lebih 200 polis dan bekas polis wanita mendakwa mengalami gangguan seksual ketika bertugas dalam saman terhadap polis Kanada dalam perbicaraan bermula, semalam.

Kes itu didengar di Mahkamah Agung British Columbia di Vancouver, bagi memperakui saman difailkan Janet Merlo, Mac lalu.

Janet berkhidmat dengan Polis Diraja Kanada selama 19 tahun.






Peguam, David Klein, berkata saman itu dikemukakan selepas lebih ramai wanita tampil mendakwa menjadi mangsa gangguan ketika bertugas. Saman itu menyatakan bahawa “ada masalah dengan sistem” polis di negara itu.

Kata Klein, masalah berkenaan memang diketahui pihak berkuasa dan sepatutnya diatasi lama dulu.

“Kini pelanggan saya mahu ia diperbaiki,” katanya. Berdasarkan keterangan mangsa, mereka mengalami pelbagai gangguan, termasuk diminta memberi khidmat seks serta berdepan jenaka biadab. - AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...