Politik MB Kedah kembali bertugas, kata setpol


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak kembali menjalankan tugas rasminya hari ini selepas dua minggu mendapat rawatan kesihatan di Kedah Medical Centre (KMC).

Menurut setiausaha politiknya, Mohamad Sanusi Mohd Nor (kanan) berkata Azizan hari ini mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman.

"Mesyuarat exco sedang berlangsung di bilik mesyuarat exco, blok E, Wisma Darul Aman. MB pengerusikan mesyuarat dan dia sudah sihat untuk bertugas," kata Mohamad Sanusi melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini pagi ini.

Beliau berkata semua exco hadir dalam mesyuarat tersebut termasuk setiausaha dan penasihat undang-undang kerajaan negeri kecuali Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan Datuk Amiruddin Hamzah.

Mohamad Sanusi yang juga ketua penerangan PAS Kedah berkata, ADUN Anak Bukit itu kini berada di luar atas tugas rasmi.
   
Pada 31 Ogos lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dilapor berkata Azizan sedang berehat di hospital itu kerana keletihan akibat terlalu banyak menyertai pelbagai program sepanjang bulan puasa yang lalu.

Azizan dimasukkan ke wad pada 25 Ogos lalu.

Katanya, Azizan dinasihatkan doktor agar berehat bagi mempastikan beliau mendapat rehat yang cukup, makan ubat dengan teratur dan tidak memakan makanan yang tidak sesuai untuk kesihatan beliau.

Ditanya rawatan yang dijalani Azizan sewaktu berada di KMC, Mohamad Sanusi meminta perkara itu perlu dirujuk doktor yang merawatnya tetapi setahunya pesuruhjaya PAS Kedah itu terkena "jangkitan kuman".

"Dia diberi antibiotik yang kuat kerana kuman itu dah imune (mangli) dengan antibiotik yang diberi masa kes di IJN (Institut Jantung Negara) tahun lepas," katanya.

Kehadiran Azizan ke pejabat hari ini menamatkan spekulasi pelbagai pihak bahawa beliau akan digantikan dengan calon lain dalam pilihan raya akan datang.

Perkembangan isu berkenaan malah menyebabkan Umno dan Gerakan Kedah mencadangkan supaya undang-undang tubuh negeri dipinda bagi mewujudkan jawatan timbalan menteri besar.

Post Tag: iskandarX Society Nuffnang Advertlets Google AdSense Bidvertiser Santai Berita Jenayah Bodoh Pelik Gila

Ulasan