Malaysiakini jadi sasaran kekecewaan penjaja

Pelancaran Festival Demokrasi di Dataran Speaker di Esplanade Pulau Pinang semalam, terganggu oleh sekumpulan penjaja, dengan wakilnya menjadikan Malaysiakini dan wartawannya sebagai sasaran kekecewaan mereka.

Salleh Ismail, yang mendakwa dari Persatuan Mukabuka Pulau Pinang, yang mewakili penjaja yang menjadi 'mangsa', berulang kali menjerit pada wartawan Malaysiakini "supaya jangan memutarbelit " laporan ini.

Pada satu ketika, dia datang sangat dekat dengan wartawan berkenaan dan menunjukkan tangannya ke arah wartawan tersebut, sambil bertanya sama ada Malaysiakini pernah memberi liputan terhadap nasib penjaja, serta menambah bahawa portal berita itu "tidak beretika dan suka memutarbelit".

Sambil menegaskan bahawa Malaysiakini mempunyai 700,000 pembaca setiap hari, Salleh menjerit ke arah wartawan tersebut sambil bertanya sama ada portal berita itu pernah memberi ruang melaporkan mengenai nasib penjaja tersebut.

Hanya minggu lepas, pada 4 September, kumpulan yang sama muncul di majlis rumah terbuka hari raya anjuran DAP negeri di Jalan Pattani, dengan mendakwa permohonan mereka untuk mendapatkan lesen berniaga di Esplanade - tempat pelancongan yang popular - telah ditolak oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) .

Protes tersebut, yang diserta kira-kira 20 orang, termasuk beberapa muka biasa seperti Salleh, yang kerap menyertai beberapa protes di Pulau Pinang, didakwa menyerang kereta yang membawa pegawai kerajaan negeri ketika beredar dari majlis tersebut.


ADUN Komtar, Ng Wei Aik, yang juga setiausaha politik Ketua Menteri Lim Guan Eng, kemudiannya membuat laporan polis, dengan mendakwa kereta rasminya telah dirosakkan oleh peserta protes tersebut.

Semalam di Dataran Speaker, penjaja tersebut menuntut untuk berucap di majlis tersebut dan kepada Exco Kerajaan Negeri Chow Kon Yeow, yang hadir untuk berucap kepada hadirin bagi pihak pihak kerajaan negeri.

Kejadian itu berlaku selepas Chow, yang merupakan pengerusi DAP negeri, mengakhiri ucapannya di majlis pelancaran pesta demokrasi yang dihadiri kira-kira 100 peserta, termasuk beberapa aktivis NGO.

Apabila mereka meminta untuk berucap di acara itu, Chow, yang juga ahli Parlimen Tanjung memberitahu mereka supaya menemui penganjur festival itu, yang antaranya ialah Suaram Pulau Pinang, tetapi kumpulan mula menyuarakan pendapat mereka dengan kuat.

Seorang warga emas yang tidak senang dengan keadaan itu menjerit ke arah kumpulan tersebut, manakala peserta lain cuba menenangkannya.

Ketika Chow (paling kiri) hendak meninggalkan tempat itu, kumpulan penjaja tersebut mahu beliau bercakap terus dengan mereka, dan Chow menjawab bahawa mereka sudah banyak kali bertemu.

Salleh kemudian berucap kepada orang ramai menjelaskan bahawa penjaja tersebut memilih Esplanade dan mereka telah cuba untuk menemui Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim di Komtar bulan lepas.

Katanya, walaupun mereka diberikan tarikh temujanji dengan Abdul Malik pada hari Isnin berikutnya (4 September), tetapi beliau tidak hadir.

Menurut Salleh mereka menunggu selama lima jam tetapi Malik tidak juga kelihatan.

Kerana itulah, tegasnya, mereka pergi ke rumah terbuka hari raya anjuran DAP pada sebelah petangnya.


Ditanya mengapa peserta protes memukul kereta yang membawa pegawai kerajaan yang hendak beredar dari majlis tersebut, Salleh berkata kumpulan itu hanya mahu menghalang kereta meninggalkan kawasan itu kerana mereka mahu bercakap mengenai lesen mereka dan kebenaran untuk ke Esplanade.

sponsored links


Beliau menambah, sebelum pilihan raya umum 2008, pegawai yang sama telah menemui mereka untuk meminta sokongan.

Jadi, kata Salleh, adakah salah jika mereka cuba menghentikan kereta mereka dan bercakap kepada mereka tentang masalah penjaja tersebut.

Salleh kemudian menafikan sekeras-kerasnya bahawa kumpulan itu disokong oleh Umno atau PERKASA.

Beliau juga mengumumkan bahawa kumpulan mereka telah menubuhkan pusat perkhidmatan di Esplanade pada setiap hari Ahad dari jam 6 petang hingga 7.30 malam untuk penjaja yang mahu membuat aduan.

Post Tag: iskandarX Society Nuffnang Advertlets Google AdSense Bidvertiser Santai Berita Jenayah Bodoh Pelik Gila

Ulasan