K'jaan S'gor alu-alukan mahkamah alam sekitar

Kerajaan Negeri Selangor menerima baik berita pembentukan Mahkamah Alam Sekitar yang telah bermula pada minggu ini.

"Pembentukan Mahkamah Alam Sekitar ini telah lama disokong oleh kerajaan negeri kerana kami percaya ia amat diperlukan untuk menangani kesalahan alam sekitar di Selangor," kata Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang alam sekitar secara berkesan memerlukan hukuman yang pantas.


Kegagalan untuk berbuat demikian, katanya, membolehkan pihak tertuduh terus melanggar undang-undang alam sekitar sementara menunggu pendengaran mahkamah.

"Usaha kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan kerap diperlahankan oleh proses kehakiman yang bakal mengambil beberapa tahun sebelum pihak tertuduh menghadapi perbicaraan.

sponsored links


"Oleh demikian, kami menyambut baik kenyataan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Hamzah bahawa kes-kes alam sekitar perlu diselesaikan dalam masa enam bulan dari tarikh tertuduh dikemukakan di mahkamah.

"Bagaimanapun, kami berharap Mahkamah Alam Sekitar ini bukan sahaja akan mengambil alih kes-kes baru tetapi kes-kes yang masih belum selesai," tegasnya.

Menurut Elizabeth, kerajaan Selangor amat mementingkan isu-isu alam sekitar dan "kami mengalu-alukan kerjasama dengan Mahkamah Alam Sekitar untuk melindungi alam sekitar Selangor dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab".

Post Tag: Santai Berita Jenayah Bodoh Pelik Gila

Ulasan