Hadiah Beg Tangan Untuk Sihirkan Orang

KUALA LUMPUR: Persahabatan mereka bermula atas dasar kerja sewaktu sama-sama menjayakan persembahan. Sebagai artis baru, bertemu penyanyi pujaannya membuatkan hati rasa berbunga. Layanan baik ditunjukkan setiap kali bertemu membuatkan hubungan antara mereka lebih rapat.

Memanggil penyanyi kesayangannya sebagai kakak, apabila berkesempatan bertemu, mereka duduk berbual. Peluang itu digunakan untuk belajar dan mendalami ilmu penyanyi ternama itu, terutama membabitkan industri muzik tempatan.

Artis wanita ini sewaktu ditemui berkata, pada permulaan persahabatan mereka, penyanyi terbabit sering memberikannya hadiah. Pemberian itu dianggap sebagai penghormatan terhadap persahabatan yang dijalin.


“Saya tak pernah terfikir buruk mengenainya dan menganggap pemberiannya ikhlas. Hinggalah satu hari saya memuji beg tangan dipakainya. Terharu saya apabila dia terus menghulurkan beg terbabit dan mahu saya menerimanya sebagai hadiah.

“Menghargai pemberiannya, saya sering menggunakan beg terbabit. Namun setiap kali menyandang atau menggenggam beg terbabit, tangan saya terasa panas seperti terkena bara api. Sedikit demi sedikit, saya berasa bahang panas itu merebak ke seluruh tubuh,” katanya.


Lebih memburukkan keadaan, situasi dialami turut mengganggu tumpuannya setiap kali mahu mengadakan persembahan di pentas. Debaran dada menjadi kencang, susah untuk bernafas dan pernah suaranya hampir tidak keluar.

“Yang menyebabkan saya pelik, apabila pergi ke klinik dan hospital, doktor kata saya sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda sakit.

“Perkara itu berlarutan hampir tiga bulan hinggalah setelah bertemu doktor sama sebanyak tiga kali, dia menasihati saya supaya mendapatkan rawatan alternatif,” katanya.

Artis baru ini kemudian berjumpa pakar perubatan alternatif dan terkejut apabila ustaz yang mengubatinya mendakwa ada orang cuba mensabotaj kerjaya seninya. Sihir menjadi pilihan orang terbabit untuk mencapai hasratnya dan cara terbaik dilakukan menerusi barangan diberikan.


sumber : myMetro

Ulasan