Angkara jiran

AMPANG: Seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengelar leher seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ketika cuba merogol mangsa ketika memecah masuk sebuah rumah di Pangsapuri Kos Rendah, Pandan Perdana, bulan lalu, berjaya ditahan polis, kelmarin.
Lelaki tempatan itu mahu menyamun rumah berkenaan tetapi mengambil kesempatan cuba merogol anak pemilik rumah berkenaan pada 4 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, Hasrin Abdullah dan isteri sedang tidur apabila dikejutkan oleh jeritan anak perempuan berusia 17 tahun. Mereka bergegas ke bilik anaknya itu dan mendapati leher mangsa berlumuran darah akibat dikelar perompak menggunakan pisau pemotong buah.

Kejadian itu menyebabkan keluarga berkenaan trauma sehingga memaksa mereka tidur dalam kereta.





Bagaimanapun, hasil risikan dan intipan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di perumahan yang sama, tetapi di blok berlainan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata lelaki tempatan yang ditahan pada jam 12.45 tengah malam kelmarin itu mengaku terbabit dalam kes samun pada 4 Julai lalu.

“Pemeriksaan dalam rumah suspek menemui telefon bimbit, dompet dan barang lain dipercayai milik mangsa yang disamunnya,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pandan Indah di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 9 Ogos ini bagi membantu siasatan kegiatan jenayah dilakukannya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek positif syabu dan mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes pukul mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Polis juga sedang menyiasat sama ada suspek melakukan jenayah samun secara bersendirian atau berkumpulan,” katanya.

Berikutan penahanan lelaki itu, Amiruddin berkata, kes pecah masuk dan cubaan merogol itu dianggap selesai. Dalam perkembangan lain, itu, Amiruddin menafikan jenayah di Pandan Jaya meningkat kebelakangan ini seperti dakwaan penduduk yang tersiar di sebuah akhbar.

Beliau berkata, indeks jenayah bagi jenayah kekerasan, harta benda dan jalanan menunjukkan penurunan bukan saja di Pandan Jaya, malah di seluruh daerah Ampang Jaya.

Ulasan