Pasangan mencurigakan dicekup




REMBAU: Curiga penduduk kampung terhadap sepasang lelaki dan perempuan yang tidak membuka lampu selepas memasuki sebuah rumah kedai di Kampung Seri Kendong, dekat sini, terjawab apabila pasangan itu didapati memadu kasih dalam keadaan mengaibkan.

Difahamkan, ketika serbuan penduduk kampung, lelaki berusia 23 tahun itu hanya berseluar jean manakala pasangannya berusia 19 tahun berbogel dan kedua-dua mereka bukan penduduk kampung itu.

Kakitangan swasta, Idris Ibrahim, 38, berkata, ketika kejadian jam 12 tengah malam Sabtu lalu, dia dan tiga rakan berada di kedai minuman berhampiran kampung itu apabila ternampak pasangan terbabit sampai dengan sebuah motosikal di depan bangunan itu.

Difahamkan penduduk sering melihat lelaki berkenaan menghantar pasangannya ke rumah kedai itu.

“Kami nekad menyerbu rumah kedai itu apabila mendapati lelaki terbabit masih tidak beredar. “Lelaki itu hanya berseluar jean manakala perempuan berbogel. Apabila ditanya status hubungan, mereka mendakwa sudah bertunang dan bakal berkahwin hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kendong, Bahari Thani berkata, dua hari selepas kejadian itu penduduk kampung menangkap satu lagi pasangan dipercayai kekasih dalam kereta.


“Penduduk curiga apabila melihat kereta berada di lorong gelap bergoyang-goyang. Apabila dihampiri, seorang lelaki berusia 40-an dan wanita 30-an separuh bogel berada di dalamnya.

“Mereka memaklumkan kepada saya dan polis dihubungi untuk tindakan lanjut. Saya kesal kerana bulan puasa ini dicemari dengan perbuatan terkutuk,” katanya.

Ulasan