Ketua kumpulan ajaran sesat Dijel

PUTRAJAYA: Ketua kumpulan ajaran sesat, Abdul Rajab Ahmad, 52, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM25,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam selepas disabitkan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559).
Isteri dan ibu mentua Abdul Rajab, Rahayu Abd Hamid, 39, dan Rodiah Yahya, 68, serta empat pengikut, Fazilah Md Salleh, 39; Abd Hamid Lateh, 45; Amirul Syafiq Rusydan Abd Hamid, 19, dan Hakimah Abd Samah, 47, pula dihukum denda RM10,000 dan enam sebatan setiap seorang mengikut akta sama.

PUTRAJAYA: Ketua kumpulan ajaran sesat, Abdul Rajab Ahmad, 52, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM25,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah

Hukuman dijatuhkan Hakim Abu Zaky Mohammad selepas mendengar dan mempertimbangkan pengakuan bersalah serta hujah dikemukakan pihak pendakwaan diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Salehan Yatim bersama Pendakwa Syarie Kanan, Che Saupi Che Husin dan Pendakwa Syarie, Mohd Hafiz Idris.

Abdul Rajab dan semua pengikut terbabit ditahan dalam serbuan Bahagian Penguat kuasa Jawi Putrajaya bersama polis kira-kira jam 1.20 pagi, pada 10 Februari 2010 di Blok A T02-U04, Jalan 17A, Presint 17, di sini, selepas pihak berkuasa menerima maklumat berhubung kegiatan ajaran sesat di situ.

Kumpulan yang berselindung di sebalik perkhidmatan rawatan alternatif dipercayai mempunyai kira-kira 60 pengikut dan mengamalkan zikir dengan menambahkan nama ‘Syeikh Qadir al-Jailani Waliyullah’ di akhir lafaz selawat.

Abdul Rajab mendakwa dirinya penyampai risalah Allah dan menerima terus ajaran Islam daripada Nabi Muhammad dan Wali Allah, malah turut mendakwa mengetahui pelbagai perkara yang berlaku pada masa depan, termasuk tarikh kiamat dan meminta pengikutnya membuat persiapan awal.


Semua tertuduh kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan. Difahamkan hukuman itu antara terberat selepas kes membabitkan ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 pada 2009. Abu Zakry ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah mengambil pertimbangan sewajarnya untuk memastikan soal kefahaman ajaran yang diseleweng dapat disekat daripada terus tersebar dan hukuman ke atas tertuduh berdasarkan kesalahan berat dilakukan.

“Ia juga boleh menjadi iktibar, menimbulkan keinsafan, pengajaran dan peringatan bukan saja tertuduh malah kepada masyarakat Islam khususnya di Putrajaya supaya tidak melakukan kesalahan sama. “Namun, pada masa sama mahkamah perlu memastikan hukuman yang dijatuhkan adalah setimpal dan bertujuan mencegah pesalah mengulangnya dan masyarakat supaya tidak melakukannya.

“Selain itu, latar belakang, pekerjaan dan pendapatan semua tertuduh tidak mengikat mahkamah untuk tidak menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan kerana mahkamah berpuas hati semua tertuduh perlu sedar sebelum melakukan kesalahan,” katanya yang mengambil masa hampir sejam untuk membaca penghakiman.

Abdul Rajab yang tinggal di Serendah, Selangor, menghadapi lima pertuduhan iaitu masing-masing satu mengikut Seksyen 11 (1), Seksyen 6 (a), Seksyen 4 (1) dan dua pertuduhan mengikut Seksyen 6 (b) akta sama.

Dia dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan, termasuk enam sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 4 (1). Hukuman itu dijalankan secara berasingan. Sekiranya tertuduh gagal membayar denda di atas setiap satu kesalahan, dia hendaklah dipenjara selama setahun lagi bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, keenam-enam lain dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 43 (b) dan mereka dikenakan denda RM5,000 setiap pertuduhan dengan tambahan enam sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 43 (1).

Jika tertuduh gagal membayar denda, mereka juga akan dikenakan penjara setahun bagi setiap pertuduhan.

Post Tag: Santai Berita Jenayah

Ulasan