Kenapa pilih 'kerjaya' Sebagai Pencuri Pula?

KANGAR: Bosan bersekolah menyebabkan tiga remaja berusia 16 hingga 18 tahun menjadikan kegiatan mencuri sebagai kerjaya sepenuh masa apabila dikesan giat mencuri motosikal di beberapa kawasan di negeri ini sejak awal tahun ini.

Difahamkan, kumpulan dikenali Geng Kola melakukan kegiatan mencuri dan meleraikan motosikal sebelum dicekup secara berasingan dalam serbuan pada pertengahan bulan lalu, sekali gus menyelesaikan tiga kes curi motosikal.

3 PELAJAR SEKOLAH ANTARA GENG KOLA PECAH RUMAH SEWA PELAJAR IPT
ABDUL RAHMAN menunjukkan sebahagian barang rampasan pada sidang akhbar di Kangar, Perlis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintendan Mohd Nashir Ya berkata, hasil pemeriksaan ke atas semua suspek membawa kepada penemuan dua motosikal curi serta satu rangka dan enjin yang dileraikan mereka.

“Mereka dipercayai mencuri motosikal itu untuk kegunaan sendiri selain meleraikan sebelum menjual alat komponen berkenaan.

“Mereka juga licik apabila bergerak dalam kumpulan yang teratur dan dipercayai mempunyai lebih ramai lagi ahli,” katanya ketika di temui, di sini, semalam.

Menurutnya, dua daripada mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan kerana mencuri, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sejumlah 202 kes kecurian motosikal dilaporkan di negeri ini dan 24 individu ditangkap bagi membantu siasatan.

“Daripada tangkapan itu, majoritinya golongan pesalah juvana dan melakukannya atas pengaruh rakan sebaya.

“Jumlah kes membabitkan kecurian motosikal dilihat menurun 19 kes kepada 202 kes setakat tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding 221 kes kecurian motosikal dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Post Tag: Santai Berita Jenayah Bodoh Pelik Gila

Ulasan