Zul Ariffin: Abby Abadi Memang Lantang Bersuara

KUALA LUMPUR, 1 OGOS 2012: Aktor kacak, Zul Ariffin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 26, akui tidak terkejut dengan kelantangan Abby Abadi dalam menyuarakan pendapat serta pandangan politiknya di beberapa majlis ceramah yang dijayakannya termasuklah di laman sosial terutama akaun peribadi Twitter miliknya.

Malah, Zul Ariffin memberitahu sepanjang mengenali keperibadian Abby Abadi sewaktu mereka sama-sama menjalinkan hubungan cinta suatu ketika dulu, dia akui sikap bekas kekasihnya itu tersebut memang begitu.

"Selama mengenali Abby, saya tahu dia memang seorang yang sangat berani menyuarakan pendapat mengenai apa yang jua perkara yang diperbincangkan, malah saya tahu dia juga seorang yang lantang apabila memberikan pandangan. Namun, jika dia rasa betul dengan apa yang dilakukan itu, baguslah.

"Pada pendapat saya, seseorang itu boleh lantang menyuarakan pendapatnya tetapi mereka juga perlulah bijak dan berpengetahuan sebelum meluahkan kata-kata," katanya kepada murai.com.my ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Astro Shaw, di Hotel One World semalam.

Bagaimanapun, Zul Ariffin memberitahu dia sendiri tidak tahu menahu mengenai penglibatan Abby Abadi dalam kancah politik baru-baru ini.

"Alhamdululah, saya tahu yang dia sudah mengenakan hijab dan saya gembira tengok dia dengan perubahan tu. Itupun saya tahu menerusi statusnya di Facebook serta gambar-gambarnya yang tersebar luas di akhbar dan internet.

"Selebihnya seperti apa yang dia buat sekarang, masuk politik, sibuk berceramah sana sini, itu semua saya memang tidak tahu. Saya hanya dengar-dengar cerita itu dari orang sekeliling sahaja," jelsnya lagi.

Ditanya sama ada dia tahu mengenai perang di Twitter yang tercetus di antara Abby dengan rakan artis seperti Dato` AC Mizal dan Umie Aida, baru baru ini, Zul menjawab dia tidak begitu mengetahui perkara itu dengan jelas.

"Tentang AC Mizal itu saya ada dengarlah mereka mahu berdebat mengenai isu PDRM, namun terus-terang saya sendiri tidak tahu perkara itu dengan lebih lanjut. Begitu juga dengan perang Twitter dia dengan Umi Aida. Itu pun saya tidak tahu,"jawabnya.

Dalam pada itu, Zul sempat diminta mengulas tentang kenyataan Abby yang mengatakan bahawa selebriti sepertinya (berhijrah dan berhijab) yang menyertai pembangkang hanya akan mempunyai kerja selepas kerajaan tumbang.

"Saya kurang bersetuju dengan pandangan Abby itu, Pada pandangan saya, showbiz dengan politik adalah bidang yang berbeza dan dia tidak boleh campuradukkan kedua-duanya. Ini kerana saya lihat ramai artis bertudung sekarang ini masih mendapat tempat di dalam industri. Malah, mereka turut ditawarkan watak yang bersesuaian dengan personaliti mereka.

"Jika dilihat dalam konteks yang lebih besar, rasanya kerajaan sekarang ini tidak pernah mengabaikan golongan bertudung. Mereka mendapat peluang pekerjaan yang sama seperti orang lain," tambahnya lagi.

Zul Ariffin yang kini sedang bercuti selama 2 bulan termasuk sepanjang ramadan ini bakal memulakan sebuah filem baru terbitan Astro Shaw September ini.

Ulasan