Sibuk Alasan Nora Danish Tunda Niat Kahwin


KUALA LUMPUR, 30 JULAI 2012: Pelakon, Nora Danish akui dia terpaksa menunda niat untuk mendirikan rumah tangga kerana terlalu sibuk dengan komitmen kerjaya seninya.

Malah, Nora Danish yang sudah mengenali seorang jejaka sejak 2 tahun lalu berkata hatinya kini belum terbuka lagi untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.

"Saya sedang rapat dengan seseorang ini sejak dua tahun lalu, namun saya belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga lagi kerana belum bersedia untuk memikul komitmen sebagai isteri.

"Lagipun, saya dapati masa turut tidak mengizinkan untuk saya meneruskan niat saya untuk berkahwin kerana jadual saya padat dan banyak lagi perancangan lain yang perlu difikirkan.

"Jangan salah anggap, saya belum merancang untuk berkahwin bukan kerana saya serik dengan kisah silam saya tetapi ianya hanya disebabkan masa sahaja.

"Jadi lebih baik saya memikirkan dahulu kerja yang perlu saya selesaikan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin lagi," katanya kepada murai.com.my pada majlis berbuka puasa Metrowealth (MIG), malam semalam.

Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan jejaka yang tidak mahu dikenali itu, bekas isteri kepada Jejai ini berkata hubungan mereka rapat dan dia sudah pun membawa temannya itu berkenalan dengan satu-satunya anaknya, Reyqal.

"Saya punya ramai teman tetapi saya akui saya paling rapat dengan dia dan selesa berkawan dengannya. Malah Reyqal juga telah berkenalan dengannya.

"Alhamdulilah, Reyqal memang seorang anak yang bijak dan memahami keadaan saya kini walaupun dia baru berusia 3 tahun," luahnya lagi.

Nora yang berehat sepanjang bulan ramadan ini hanya menjalani ibadah puasa bersama kelaurga tanpa menjalani sebarang aktiviti seni. Nora juga bakal muncul sebagai pengacara dalam sebuah program raya yang berjudul Irama di TV3, Aidilfitri ini.

Ulasan