Iz Sulaini Teruja Jumpa Ryan Seacrest Malaysia


KUALA LUMPUR, 31 JULAI 2012: Bakal melancarkan single terbaru yang juga merupakan lagu balada Melayu pertamanya, Cinta Akhir, Iz Sulaini yang dicungkil bakatnya akui berasa bangga dan teruja apabila dijemput untuk menjayakan program rakaman Carta Era 40 bersama Aznil Hj Nawawi atau Pak Nil bagi siaran Ahad ini.

"Selepas 4 tahun berkecimpung dalam bidang ini, inilah kali pertama saya dapat menjejakkan kaki ke konti Era. Rupanya bukan mudah untuk mendapat peluang ini apatah lagi dijemput sebagai undangan dalam program Carta Era 40 yang diacarakan Aznil Hj Nawawi.

"Bagi saya dia adalah seorang personaliti yang sangat berbakat, dia adalah Ryan Seacrest Malaysia. Saya sangat teruja apabilla diberi peluang ini untuk masuk ke konti bersama Aznil Hj Nawawi. Sebab tidak semua selebriti berpeluang berbuat demikian.

"Saya ada juga membuat sedikit homework dengan mendengar semula Carta Era 40 yang terdahulu bagi memahami bagaimana situasi ketika proses rakaman berlaku. Maklumlah pengacara yang hebat sepertinya, soalan yang diajukan juga pasti lain dari yang lain.

"Untuk memastikan saya dapat menjawab soalan atau memahami soalan yang diberikan nanti, jadi saya rasa lebih baik jika saya mendengar semula program tersebut dengan betul-betul," ujarnya yang ternyata teruja dengan peluang tersebut.

Menurut Iz juga, semasa rakaman tersebut berlangsung dia juga akan memperdengarkan single keduanya yang masih dirahsiakan judulnya selain lagu terkini Cinta Akhir.

"Saya akan tampilkan preview bagi single kedua saya selama setengah minit dan bagi anda yang ingin mengetahui judul lagu tersebut, kenalah dengar siaran Carta Era 40 Ahad ini,"ujar graduan bidang komunikasi massa ini.

Iz Sulaini yang segak berbaju Melayu rekaan Fairuz Ramdan ditemui di majlis berbuka puasa bersama Barisan Artis Nasional (BRAN) yang diadakan di Zebra Square. Penyanyi ini baru sahaja menyertai BRAN selama 2 minggu menghadirkan diri kerana ingin bertemu dengan para artis lain yang berada di bawah sayap Barisan Artis Nasional (BRAN) ini.

Ulasan