Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23 - 24 Jun 1970 telah membincangkan Pemindahan Jantung Dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:
Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.
Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.
Keterangan/Hujah:
Sumber yang menjadi asas hukum di atas ialah:
i. Untuk menghapuskan kemudharatan, sepertimana yang dituntut oleh Hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi " لا ضرر ولا ضرار " yang bermaksud “Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan tidak boleh memudharatkan orang lain”.
ii. Memberi kemudahan, sepertimana yang terkandung dalam firman Allah 185 Surah al-Baqarah yang bermaksud “Allah berkehendakkan kemudahan untuk kamu dan tidak berkehendak kepayahan”.
iii. Melakukan kemudharatan yang paling ringan di antara dua kemudharatan, sepertimana yang terkandung dalam kaedah Fiqh yang berbunyi " ارتكا ب أخف الضررين " yang bermaksud " melakukan kemudharatan yang lebih ringan ".
Hukum harus menderma dan memindahkan organ juga tertakluk kepada berbagai-bagai syarat yang pada prinsipnya menjaga berbagai kepentingan selaras dengan kehendak syariat Islam. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
i. Ia tidak akan menyebabkan penderma menanggung kemudharatan atas dirinya seperti mati atau cacat seperti hilang pendengaran, penglihatan, kemampuan untuk berjalan dan sebagainya.
ii. Pemindahan berkenaan berlaku dengan izin penderma berkenaan.
iii. Keizinan berkenaan berlaku dalam keadaan penderma memiliki kelayakan penuh untuk melakukannya. Kerana itu ia tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak, orang gila, atau orang yang dipengaruhi oleh tekanan atau paksaan atau kekeliruan.
iv. Ia tidak berlaku dengan cara yang mencabuli kehormatan manusia, seperti melibatkan urusan jual beli. Sebaliknya ia perlu berlaku berasaskan keizinan dan pendermaan semata-mata.
v. Para doktor yang melakukan urusan pemindahan berkenaan mempunyai asas keilmuan yang cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk ke atas penderma dan penerima berasaskan prinsip maslahah dan mafsadah sepertimana yang terdapat dalam Syariat Islam.
Sumber Mufti Penang
cik siti dulu memang teringin nak jadi donor organ ni...tapi ada orang tak bagi derma...huhu...
BalasPadammemang bagus niat hati siti tu, tapi macam is dulu belajar kat pondok, guru is kata derma organ nie tak boleh, sebab ada dalil yang mengatakan organ dan anggota badan kita nanti akan menjadi saksi di padang mahsyar nanti, kalau organ atau anggota badan nie berpindah tubuh macam mana dengan fitnah pula yang timbul bila pengguna organ kita tu terpesong akidahnya?
BalasPadam