Dalam usaha agar kumpulan peniaga dapat menyumbang kepada pertumbahan ekonomi negara, kerajaan melancarkan program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) pada 2011. Ini adalah bahagian akhir daripada rencana dua siri.
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- "Kak Yus gula-gula untuk sakit tekak ada? Yang untuk budak kecil". Seorang gadis Melayu muncul di muka pintu kedai.
"Yus minyak ada? Nak satu peket. Kalau ada banyak, bagi dua peket." Seorang lagi pelanggan perempuan muncul.
"Yus roti yang saiz kecil ada. Tak nak yang besar, tak habis nanti. Hari tu beli, empat keping terpaksa buang kerana rosak". Masuk pula seorang pelanggan perempuan separuh umur.
Sekejap datang pula seorang pelanggan lelaki. Dia berniaga gerai makanan. Banyak barang yang dibeli termasuk minyak masak, gula dan susu.
"Nah ini ada air untuk Kak Yus", pelanggan lelaki itu menghulurkan sebungkus minuman selepas membuat bayaran untuk barang-barang yang dibelinya.
Begitulah rutin kehidupan Yusmawati Md Saad, 34, pengusaha Kedai Runcit Yusmawati di Blok E 12-0-2 Desa Pandan, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Tidak putus-putus pelanggan masuk ke kedainya dan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada suri rumah dan peniaga.
PROGRAM TUKAR
Kedai Runcit Yusmawati adalah satu daripada kedai yang menyertai program Transformasi Kedai Runcit atau akronimnya TUKAR.
Kerajaan melancarkan program TUKAR pada 2011. Ia adalah peluang terbaik untuk pekedai runcit seperti Yusmawati untuk meningkatkan imej kedai supaya kekal relevan dalam persaingan sengit perniagaan runcit.
Program TUKAR yang diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setakat ini berjaya menarik penyertaan 878 buah kedai runcit.
Untuk tahun 2012, sebanyak 302 kedai runcit menyertai TUKAR untuk tempoh Januari hingga 29 Jun.
Pihak kerajaan menyasarkan penyertaan 500 kedai runcit setahun untuk program ini dan dijangkakan 10 peratus daripada 50,000 kedai runcit di seluruh negara akan menyertai TUKAR menjelang 2020.
SUDAH BIASA
Berniaga kedai runcit bukanlah sesuatu yang asing bagi Yusmawati yang berasal dari Air Itam, Pulau Pinang, kerana biasa membantu bapanya mengendalikan sebuah kedai runcit di Sungai Siput, Perak.
Yusmawati menguruskan kedai runcit di Desa Pandan bersama suaminya, Verusade Mohd. Kedai tersebut memulakan perniagaannya pada 1994.
"Biasanya saya akan berada di kedai dari pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang. Suami saya lebih banyak keluar membeli barang dan jika dia sibuk atau tidak sihat, saya akan berada di kedai sehingga pukul 10 malam.
"Di samping seorang pembantu kedai, ada kalanya anak sulung saya Shaik Muhammad, 17, turut membantu saya", kata ibu kepada tiga anak lelaki dan seorang perempuan, kepada Bernama di sini.
SERTAI TUKAR
Mengenai TUKAR, Yusmawati berkata beliau sebenarnya tidak memohon untuk menyertai program itu, sebaliknya beberapa wakil dari Carrefour (satu daripada perunding Program TUKAR) berkunjung ke kedainya untuk membuat tinjauan.
"Saya tak perasan pun mereka datang. Beberapa bulan selepas kunjungan pertama, mereka datang lagi dan beri penerangan mengenai TUKAR.
"Mereka kata akan buat ubah suai kedai dan boleh dapat pinjaman sehingga RM60,000 daripada Bank Rakyat", kata Yusmawati.
Yusmawati bagaimanapun gagal untuk mendapatkan pinjaman. Namun, dia tetap meneruskan hasrat untuk menyertai TUKAR.
"Memandangkan pelan ubah suai sudah disiapkan saya gunakan wang simpanan kedai ini sebanyak RM40,000.
"Wang ini sebenarnya untuk keperluan modal pusingan perniagaan dan saya gunakannya dengan harapan bisnes kedai runcit ini akan maju", kata Yusmawati.
Menurut beliau, kerja-kerja ubahsuai yang dibuat oleh kontraktor Carrefour termasuk lantai mosaik dan rak baru siap dalam masa 20 hari.
BANYAK PERSAINGAN
Perniagaan kedai runcit Yusmawati mencatat peningkatan jualan sekitar 30 peratus selepas ubah suai kedai.
Namun, prestasi yang menggalakkan itu hanya dapat bertahan dua bulan sahaja.
"Di kawasan ini banyak kedai. Ada yang sampai buat potongan harga. Pelanggan-pelanggan saya ada yang berniaga gerai dan saya beritahu mereka saya tak boleh ikut harga kedai yang buat promosi itu.
"Pelanggan biasanya mahu harga murah tapi barang mesti berkualiti. Kalau boleh turunkan harga, saya akan turunkan. Lagi pun, saya bukan ambil untung banyak. Cukup-cukup untuk balik modal sahaja.
"Bagaimanapun, alhamdulillah saya ada pelanggan lain yang masih datang ke kedai saya", kata Yusmawati.
Beliau juga menghargai kesetiaan pelanggan lamanya sehinggakan ada antara mereka yang dibenarkan berhutang.
"Yang berhutang ni tak ramai. Ada yang sudah lebih 10 tahun membeli barang keperluan di kedai saya. Kalau berhutang pun mereka tetap bayar", tambahnya.
STOK BARANG
Kalau diperhatikan memang terdapat banyak barang di kedai runcit Yusmawati.
Beliau memberitahu penulis memang sedari dahulu lagi kedai runcitnya memang menyimpan banyak barang untuk kemudahan pelanggan.
Pembekal barang untuk kedai runcit Yusmawati juga ramai, kebanyakannya memberi kredit.
Malah ada pembekal yang akan berkunjung ke kedainya untuk mengambil pesanan barang tanpa dipanggil.
Dalam masa yang sama menurut Yusmawati, dia juga ingin mendapatkan bekalan barangan daripada pasar raya besar yang menyertai projek TUKAR.
Bagaimanapun, pihak yang dihubunginya memberitahu supaya dia berurusan dahulu dengan pembekal sedia ada.
KURANG BEKALAN
Seperti peniaga lain, perkara yang paling menjadi kebimbangan Yusmawati ialah apabila berlaku kekurangan bekalan.
Tiga barang yang sering kurang bekalannya terutama menjelang bulan Ramadan ialah gula, tepung gandung dan minyak masak.
"Bila nak mula puasa mulalah bekalan kurang. Permintaan barangan ini akan meningkat sekitar 70 peratus.
"Sekarang pun dah ada yang kurang. Saya ada pelanggan yang datang dari Gombak.
Bukan sahaja suri rumahtangga yang membeli minyak masak ini yang berharga RM2.50 sepeket tetapi peniaga gerai makanan juga lebih berminat membelinya berbanding minyak masak dalam botol.
Senario yang berbeza menjelang hari raya. Barang yang menjadi buruan pengguna ialah kelapa dan menurut Yusmawati harga kelapa akan meningkat berbanding hari-hari biasa.
"Sekarang mereka bawa kelapa mawar, saisnya kecil berbanding kelapa biasa. Harganya RM1.50 sebiji, kelapa biasa RM1.80 sebiji. Walaupun sais kecil, isinya tebal," kata Yusmawati.
MASALAH KEWANGAN
Kekurangan aliran wang tunai antara cabaran besar bagi peniaga kedai runcit seperti Yusmawati. Wang simpanan yang ada sudah dibelanjakan untuk menambahbaik kedai.
Kekangan kewangan membuat dia terpaksa mendapatkan pinjaman. Yusmawati pernah mendapat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM3,000.
Pada 2010, dia memohon pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) sebanyak RM10,000.
"Pada awal tahun ini saya mohon pinjaman lagi sebanyak RM50,000 tetapi hanya RM25,000 yang diluluskan.
"Saya gunakan duit ini untuk beli barang. Kalau boleh saya hendak stok barang sebelum musim perayaan kerana nanti banyak barang yang diletakkan di bawah barangan kawalan termasuk gula, tepung gandum dan minyak masak", jelas Yusmawati.
Di kedai runcitnya, Yusmawati turut menyediakan kemudahan untuk membayar bil seperti elektrik, telefon dan ASTRO di samping pembelian kad pra-bayar untuk telefon bimbit.
Ini adalah antara sebab mengapa Yusmawati memberitahu dia memerlukan wang tambahan di samping keperluan untuk membeli stok barangan.
CABARAN BERNIAGA
Kedai runcit Yusmawati hanya menutup perniagaan beberapa hari setahun sempena musim perayaan.
Meskipun sentiasa sibuk, beliau merasa seronok mengusahakan perniagaan tersebut bersama suami kerana dapat mengenali ramai orang.
Malah beliau menganggap pelanggannya sebagai ahli keluarganya sendiri.
Yusmawati menaruh harapan besar terhadap kedai runcit yang diusahakan bersama suaminya.
Beliau mahu melihat kedai runcit mereka lebih maju.
"Ini yang belum kami dapat lagi. Kalau boleh kami hendak besarkan perniagaan tetapi ini memerlukan modal.
"Memang kerajaan telah banyak membantu peniaga seperti kami seperti pemberian pinjaman TEKUN.
"Tetapi kalau boleh, harap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak kemudahan dari segi jumlah pinjaman dan barang, kalau boleh dapat beli dengan harga yang lebih murah lagi bagus", kata Yusmawati dengan penuh harapan.
-- BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan
Sekiranya is ada menguris hati yang membaca ini... is pohon kemaafan, dan seribu keampunan dari ujung rambut sampai ujung kaki..
I Luv All Of You Commenters OF My Blog
is terpaksa Moderated Kan Komen sebab is tak perasan komen masuk bila login kat dashboard, kesian sahabat kita ada yang komen is lambat balas.