Sukarnya Bila Fifi Natasya Masih Dianggap Kanak-Kanak

MELAKA, 19 JULAI 2012: Meskipun sudah mencecah usia 19 tahun, namun pelakon Fifi Natasya akui dia masih dianggap kanak-kanak sehingga jarang diberikan watak sebagai seorang remaja atau dewasa.

Jelas Fifi Natasya, amat susah untuk dia meyakinkan produser dan pengarah filem atau drama bahawa dia kini sudah dewasa dan bukan lagi pelakon kanak-kanak yang berusia 9 tahun.









"Sejak usia 9 tahun hingga 12 tahun, saya banyak berlakon sebagai watak kanak-kanak. Namun selepas saya menjejakkan kaki ke sekolah menengah, sukar untuk saya menerima tawaran berlakon kerana saya berada di pertengahan peringkat iaitu antara kanak-kanak dan remaja.

"Jadi saya buat keputusan untuk berhenti berlakon buat seketika dan kembali semula di dalam industri ini tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walau bagaimana pun, situasi yang saya alami tetap sama kerana masih ada lagi produser yang menganggap saya masih kanak-kanak dan mahu menawarkan saya watak yang sebegitu.






"Tapi setelah beberapa kali saya meyakinkan pihak produser dan pengarah dengan mengemaskini semula profil diri saya, barulah ada beberapa produser yang mula menyedari bahawa saya kini sudah meningkat remaja," katanya kepada murai.com.my sewaktu menghadiri pelancaran filem Mafia, di Hotel Renaissance, Melaka pada Isnin lalu.

Biarpun masih ramai produser dan pengarah yang tidak menyedari perubahan dirinya itu, namun Fifi bersyukur kerana sudah ada di antara mereka yang mula memberikan tawaran untuk membawakan watak-watak yang lebih dewasa.

"Seperti sebelum ini, saya sudah melakonkan watak remaja dalam drama bersiri Vanila Coklat dan akan kembali dalam Vanila Coklat Raya pada Aildilfiri ini.

"Watak paling dewasa yang saya lakonkan adalah watak berusia 25 tahun iaitu menerusi drama bersiri Tangisan Bulan Madu untuk RTM. Ia kini sedang ditayangkan di stesen televisyen tersebut.

"Walaupun agak perlahan untuk saya dikenali, tapi saya harap satu hari nanti lebih ramai produser dan pengarah yang akan sedar bahawa saya kini sudah pun meningkat remaja," jelas pelajar jurusan Farmasi yang sedang menuntut di Kolej SEGI ini.

Mengenai perkembangan terbarunya, Fifi juga bakal muncul dengan filem Left Wings tidak lama lagi.
















kalau lah Fifi nak orang anggap dah bukan kanak-kanak lagi, cuba ubah penampilan diri tu kepada orang Islam semula, baru boleh di panggil wanita solehah, dan bukanya FIFI Natasya Kawaii.

Ulasan