Menyusuli Nostalgia Hari Raya Bersama Erra Fazira


Walaupun sibuk dengan tugasan sebagai seorang selebriti, penyanyi serta pelakon kesukaan ramai, Erra Fazira tetap menyambut Hari Raya Aidilfitri sama seperti orang-orang kebanyakan. Malah beliau tidak kekok untuk berkongsi bersama tentang persediaan serta persiapan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan serta Syawal kali ini.

Erra yang ditemui ketika menjalani sesi penggambaran iklan Hari Raya Astro di Tanjung Karang sempat berkongsi kisah lucu ketika menyambut kedatangan Syawal semasa kecil dahulu.

“Kalau nak diikutkan, banyak sangat kisah lucu yang berlaku semasa Erra menyambut Hari Raya semasa kecil dahulu. Tapi paling diingati bila saya dan rakan-rakan dibahagi kepada dua kumpulan untuk menyerbu beraya di rumah jiran-jiran berdekatan.

“Kami berebut-rebut untuk beraya di rumah jiran-jiran supaya dapat kumpul duit sebanyak yang mungkin. Tapi bila dah besar, kesedaran tentang pengertian Hari Raya tu baru dapat dirasai. Bila menyambut kedatangan bulan Syawal, saya bersyukur dapat mengunjungi sanak-saudara dan jiran tetangga untuk mengeratkan lagi ikatan silatulrahim antara kami,” ujarnya kepada Astro Gempak.

Menyentuh mengenai persiapan raya, Erra Fazira kurang gemar untuk membeli-belah seawal bulan Ramadan menjelma. Persiapan di penghujung bulan Ramadan menjadi pilihan kerana lebih mudah dan tidak mahu menampakkan terlalu teruja menyambut kedatangan Syawal sedangkan bulan Ramadan perlu diutamakan juga.

“Persiapan Hari Raya selalunya akan di lakukan pada penghujung bulan puasa kerana saya lebih gemar untuk membeli-belah pada akhir-akhir bulan Ramadan. Lagi pun kami sekeluarga tidak terlalu memilih dalam menyambut kedatangan Syawal.

“Dekorasi rumah mahupun pemilihan warna baju pula semestinya saya yang akan tentukan untuk suami dan anak. Insya Allah tahun ini sambutan Hari Raya di Kuala Lumpur atau mungkin pulang ke kampung di Rawang, Selangor,” katanya lagi.

Malah Erra sempat berseloroh apabila ditanya mengenai masakan kegemarannya semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Saya mesti masak atau mesti ada hidangan lemang, ketupat, rendang dan kuah kacang. Ini sajian yang wajib ada di pagi Hari Raya. Kalau ada empat hidangan ini, sampai raya ketiga pun saya boleh makan lagi,” ujarnya sambil ketawa.

Selain menjalani penggambaran iklan Hari Raya bersama Astro, Erra Fazira turut menjayakan program bulan puasa dan Raya Astro yang akan disiarkan nanti antaranya Primadona Erra dan sebagai artis jemputan sebuah rancangan Hari Raya yang dihoskan oleh Zizan Razak.





Hahah betul tu kak Erra, lemang dan ketupat nie kalau betul terrer masak dia boleh tahan sampai seminggu, memang tak boring kalau makan lemang dengan ketupat berkuahkan kacang, perrrghhhhhhhhh.........nikmatnya memang lazat...tak terkata.

Ulasan