Mafia Kisah Gangster Anak Jati Melaka


MELAKA, 19 JULAI 2012: Kali pertama menceburi dunia penerbitan filem, syarikat produksi MS Production & Trading Sdn Bhd nampaknya cukup berani melaburkan RM3 juta untuk digunakan sebagai kos pembikinan bagi menghasilkan produk filem pertama mereka iaitu Mafia.

Menurut pengarah urusannya, Dato' Eddie MS, sebagai ahli perniagaan, dia berani menanggung apa jua risiko dengan melaburkan kos sebanyak itu terhadap filem pertama terbitannya.

"Memandangkan kami akan menggunakan lebih 40 peratus teknik CGI (Computer-generated imagery) untuk melakukan beberapa aksi fighting dan kesan api yang membara ketika menghasilkan babak kereta terbakar, maka saya jangkakan kos pembikinan filem Mafia ini pastinya akan mencecah jumlah yang sebanyak itu.

"Selain itu, kami juga bakal melaburkan sebahagian daripada kos penmbikinan filem itu untuk melakukan rangka promosi yang mantap dan secara meluas. Saya tidak kisah jika perlu melabur wang yang sebanyak itu untuk menghasilkan sebuah filem kerana saya melibatkan diri dalam bidang penerbitan filem ini pun kerana mahu sama-sama menyemarakkan industri seni tempatan.

"Malah sebagai ahli perniagaan yang baru sahaja berkecimpung dalam dunia seni ini, saya akan cukup bersyukur jika filem ini hanya mendapat kutipan yang boleh membayar balik pulangan modalnya," katanya ketika majlis pelancaran filem Mafia yang berlangung di Hotel Renaissance, Melaka Isnin lalu.

Mafia bakal mempertaruhakan pelakon-pelakon yang di antaranya terdiri daripada pelakon baru iaitu Melia Aimelia, Safra Aina, Chimay, Tony Tuah, Luke Wong beserta dua pelakon berpengalaman sebagai peneraju utama iaitu Qazem Nor dan Fifi Natasya.

Meksipun mempertaruhkan wajah-wajah baru, Dato' Eddie MS memberitahu dia yakin dengan rangka promosi yang teratur dan konsisten, filem bergenre aksi itu pasti akan mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

"Meskipun filem ini dibarisi wajah-wajah baru, saya yakin ia mampu memberi satu kelainan dan impak yang berkesan buat penonton kerana mereka ini juga cukup berbakat.

"Cuma mungkin selama ini mereka belum diberi peluang untuk menonjolkan bakat lakonan mereka. Jadi siapa tahu Mafia mampu membuka jalan untuk mereka ini untuk dikenali dan menjadi pelapis di masa hadapan.

"Apa yang paling penting bagi saya, sebuah filem itu juga boleh berjaya jika ianya dibantu dengan rangka promosi yang mantap dan konsisten. Selain itu, filem ini juga lari dari kebiasaannya kerana memilih Melaka sebagai lokasi penuh penggambarannya," jelasnya kepada murai.com.my lagi.

Dato Eddie menambah, pemilihan Melaka sebagai lokasi penggambaran filem ini diharap dapat membantu mempromosikan lagi negeri Hang Tuah itu sebagai destinasi pelancongan yang indah dan penuh bersejarah kepada masyarakat tempatan.

D ibawah arahan sutradara, Nurazmi Abdul Karim, Mafia turut membariskan beberapa artis undangan sebagai tarikan iaitu seperti Awie, Zila Bakarin, DJ. Lin dan Baharuddin Omar.

Sementara itu, Nurazmi Abdul Karim berkata, tarikan filem tersebut juga adalah pada jalan ceritanya sendiri yang diangkat daripada kisah sebenar anak jati Melaka.

"Mafia ini merupakan seratus peratus idea asal daripada Dato Eddie sendiri dan 90 peratus daripada filem ini nanti adalah cerita yang diangkat daripada kisah sebenar seorang anak tempatan Melaka.

"Jadi ia bakal membongkar kisah realiti seorang Mafia di dalam filem ini. Menariknya Mafia yang dipaparkan bukanlah seperti cerita atau filem gangster yang pernah dilihat sebelum ini tetapi ia lebih memaparkan bagaimana kisah perdagangan haram dijalankan

"Saya percaya sebuah karya itu bukan sahaja bergantung pada pelakonnya tapi apa yang penting cara penyampaian jalan ceritanya nanti,"katanya.

Penggambaran Mafia dijangka akan dijalankan selama 30 hari bermula 22 Julai ini.

Dijangka menemui penonton sekitar Mac tahun depan, Mafia berkisar kehidupan seorang pemuda bernama Amri yang hidup miskin dan berazam untuk mengubah hidupnya menjadi kaya walaupun terpaksa melibatkan diri dalam kencah penjenayah yang berbahaya.

Dalam mencapai azamnya itu, Amir terpaksa mengharungi pelbagai cabaran walaupun di sebalik itu dia sebenarnya seorang pemuda yang dipandang baik dan alim oleh masyarakat kampungnya. Apakah kesudahannya? Nantikan tayangan Mafia tahun hadapan.


Ulasan