Kenapa Rusdi Ramli boleh Jangka Zizan Nin Akan Tertonjol?

KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2012: Filem cereka Tanda Putera yang mengangkat kisah perjuangan dua negarawan iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail semakin mula mendapat liputan yang meluas daripada pihak media.

Bukan hanya disebabkan pelbagai kisah kontroversinya semata, namun filem terbitan dan arahan terbaru Datin Paduka Shuhaimi Baba ini turut diperkatakan kerana jalan ceritanya yang cukup menyayat hati serta lakonan mantap yang ditonjolkan oleh setiap barisan pelakonnya terutamanya watak Zizan Nin sebagai Tun Dr Ismail.

Malah, ada yang berpendapat watak Zizan Nin itu lebih menonjol daripada watak sebagai Tun Abdul Razak yang dibawakan Rusdi Ramli. Walhal watak Rusdi Ramli sepatutnya lebih ke depan kerana jawatannya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu.

Ketika dihubungi murai.com.my, Rusdi Ramli nyata sangat positif dengan isu yang dibangkitkan itu, malah dia sudah dapat mengagak tentang hal itu sejak daripada awal lagi.

"Tidak dapat dinafikan memang Zizan sangat bagus melakonkan watak Tun Dr Ismail. Lagipun jika anda yang tahu sejarah mengenai tokoh ini, dia memang seorang yang lantang bersuara dan merupakan orang kuat kepada Tun Abdul Razak.

"Itulah realiti sebenar mengenai Tun Dr Ismail dan kerana itu dia dipanggil menyertai kabinet oleh Tun Abdul Razak dan watak tersebut dibawa dengan baik sekali oleh Zizan.

"Saya tidak kisah jika dibandingkan kerana memang watak Tun Dr Ismail seorang yang tegas dan itu kelebihan yang ada pada watak tersebut dan watak Tun Abdul Razak juga ada peranannya yang tersendiri,"ujar Rusdi yang menyedari mengenai perkara itu sewaktu menjayakan penggambaran Tanda Putera lagi.

Rusdi juga melahirkan perasaan gementarnya ketika membawakan watak Tun Abdul Razak kerana ia melibatkan sejarah yang perlu mempunyai fakta yang tepat. Antara cabaran lain melakonkan watak ini adalah maklumat dan bahan rujukan yang terhad untuk dijadikan panduan ketika berlakon.

"Panduan utama bagi menjiwai watak Tun Abdul Razak adalah dokumen-dokumen serta footage mengenai beliau. Namun begitu, ianya agak terhad terutama tentang sejarah beliau," katanya kepada murai.com.my.

Mengenai penangguhan tayangan filem Tanda Putera pula, Rusdi Ramli menyifatkan perkara tersebut sebagai berada di luar bidang kuasa pengarah serta keseluruhan krew produksi Tanda Putera.

"Sukar untuk kita pertikaikan kenapa dan mengapa ianya ditunda, namun saya rasa Finas punya jawapannya. Tetapi kalau boleh saya mahu ia tidak disimpan terlalu lama," tambahnya lagi.

Macamana nak menonjol korang letakkan pelakon pun yang jenis "sejuk" macam Rusdi Ramli tu, lain kali cuba letak pelakon yang macam Azad Jazmin, mesti meletup macam gunung berapi, orang nanti meluat gila punya.


Ulasan