Kenapa Anita Baharom Selesa Berlakon Bersama Anak-Anak Pulak?


Satu pengalaman yang menarik buat pelakon Anita Baharom apabila berpeluang berlakon dalam drama Keluarga Iskandar yang telah pun disiarkan di Astro Prima (105) setiap Selasa jam 10 malam.

Jelasnya, pengalaman menarik itu disebabkan oleh penglibatan kedua-dua orang anaknya iaitu Syifa Dhia Nurina dan Mohd Dhia Iskandar yang turut sama membintangi drama tersebut.

“Seronok sangat berlakon dalam drama Keluarga Iskandar ini, kerana saya tidak berjauhan dengan anak-anak. Mereka turut berlakon bersama dan membawa watak sebagai anak saya juga. Jadi saya tidak mempunyai sebarang masalah kerana anak-anak sentiasa  bersama saya sepanjang penggambaran,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, anak-anaknya juga tidak memberi sebarang masalah ketika di lokasi meskipun mereka baru berusia lima dan  satu tahun.

“Mereka tidak memberi sebarang masalah ketika berlakon. Semuanya mengikut seperti yang dijadualkan. Malah anak sulung saya Syifa memang sudah menunjukkan minat dalam bidang lakonan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, kata Anita, drama Keluarga Iskandar memaparkan realiti kehidupan masyarakat hari ini. Konflik bergaduh antara suami isteri dan adik-beradik antara yang dipaparkan dalam siri berkenaan.

“Drama tersebut santai dan bersahaja. Jalan ceritanya memaparkan konflik-konflik yang berlaku dalam kehidupan kita. Namun apa yang pasti, dalam sebuah keluarga, air yang dicincang tidak akan putus,” katanya.

Saksikan drama bersiri Keluarga Iskandar yang disiarkan di Astro Prima, 105, setiap Selasa jam 10 malam.




Memang best drama nie, masa aku tengok cerita nie aku teringat siri drama yang masa aku kecik-kecik dulu, drama Keluarga Isnin. Aku tengok macam ada persamaan sikit anda kedua-dua drama nie. Korang rasa betul tak?

Ulasan