Dasar Perniagaan Kecil Malaysia Dapat Sanjungan Antarabangsa


MELBOURNE, 23 Julai (Bernama) -- Dasar pembangunan perniagaan kecil yang diamalkan di Malaysia menempatkannya pada barisan hadapan di seluruh dunia, kata seorang pakar perniagaan kecil antarabangsa Ken Phillips.








Phillips, Pengerusi pertubuhan perniagaan kecil Australia, Council of Small Business Australia, mengenal pasti Malaysia sebagai peneraju dunia.

Sambil mengkritik ekonomi maju, Phillips berkata: "Berbanding dengan Malaysia, dasar perniagaan kecil di ekonomi maju di Eropah, Amerika Utara dan Australia biasanya diperkenalkan seolah-olah sudah terantuk baru tengadah dan tidak diperkenalkan melalui dasar ekonomi yang terancang."

Phillips menonjolkan bahawa kepimpinan yang tekal dari para pemimpin kerajaan sebagai penting kepada kejayaan perniagaan kecil Malaysia.

Beliau kagum bahawa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan sendiri Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia.

"Kepimpinan ini menunjukkan paras kecanggihan pembangunan ekonomi (di dalam kes ini sektor perniagaan kecil) yang sukar dilihat di ekonomi maju," kata Phillips kepada Bernama Isnin.

Phillips adalah pejuang utama perniagaan kecil, khususnya pada isu pekerja sendirian dan perniagaan makro. Beliau juga mengetuai Persatuan Kontraktor Bebas Australia serta melaksanakan penyelidikan global dan mengulas dasar kerajaan terhadap pekerjaan sendirian.

Phillips berkata demikian selepas satu persembahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Datuk Hafsah Hashim pada satu persidangan perniagaan kecil global di Wellington, New Zealand, pada pertengahan Jun, yang dihadiri oleh para ahli akademik, para pegawai kanan kerajaan dan pakar IKS.

Hafsah telah mempersembahkan secara terperinci dasar pembangunan perniagaan kecil Malaysia dan integrasinya ke dalam peningkatan ekonomi nasional, yang disifatkan Phillips sebagai satu keunikan.

"Apa yang menarik mengenai pendekatan Malaysia ini ialah mereka melihat hubungan langsung antara ekonomi berpendapatan tinggi dan percambahan serta pengukuhan perniagaan kecil."

"Saya boleh katakan bahawa saya telah melihat analisis pembangunan ekonomi sedemikian sebelum ini dan tentunya tiada satu pun diterjemahkan kepada dasar langsung kerajaan dan tindakan."

"Dasar Malaysia itu menonjol sebagai sesuatu yang berbeza dan berada di hadapan," kata Phillips, sambil menyatakan kejayaannya adalah jelas.

"Ini dapat dilihat dari kenyataan bahawa pertumbuhan sumbangan IKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak 2004 melangkaui pertumbuhan keseluruhan KDNK. Pembangunan perniagaan kecil dihalakan untuk membawa Malaysia dari ekonomi berpendapatan pertengahan ke tahap lebih tinggi dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020."

"Malaysia adalah negara yang mesti diberi perhatian," kata Phillips, dan itu "..boleh memberi banyak pengajaran kepada ekonomi maju."

-- BERNAMA

Takkanlah baru sekrang dunia baru nak buka mata kat peniaga kecil di Malaysia? Kesian kat kami nie sebagai peniaga kecil yang jumlahnya kecil diMalaysia. Tambahan pula peniaga kecil yang berniaga diluar negara. Bila peniaga kecil berniaga diluar negara, barulah berebut-rebut nak masukkan berita didalam Negara.

Ulasan