Belenggu, ayam golek dan hari pembebasan.....


Ini adalah sebuah cerita tentang ayam golek, is ambik kat facebook untuk dikongsikan bersama dengan pembaca blog is.


Di dalam sebuah ruang yang dimamah api...
Yang menjulang tidak pernah padam...
Berlapis tujuh dan di dalam salah satu lapis,
terdapat bala tentera kegelapan sedang terbelenggu dengan rantai yang sentiasa bersuhu tinggi dan mampu menembus tujuh lapisan dunia.

Di satu sudut, ketua tentera kegelapan yang turut terbelenggu, lemah, terkebil-kebil lemah.

Tiap-tiap dua belas purnama, dia dan bala tenteranya dirantai oleh sang pencipta dari berkeliaran membisik kata-kata yang mencucuk-cucuk keimanan keturunan Adam.

Dia kelaparan, seperti laparnya insan-insan yang menahan lapar.

Dia kehausan, seperti hausnya insan-insan yang menahan kehausan.

Dia kelelahan, seperti lelahnya insan-insan menahan hangat cuaca dan aktiviti seharian.

Semakin dia menggerakkan tubuhnya,
semakin ketat rantai itu membelenggu dirinya.

Matanya terpejam celik, tertunduk-tunduk.

Kabur.

Kelabu-kelabu.

Harum?

Bau ayam golek.

Urghh.

Sedap.

Matanya terasa segar kembali mencari punca bau.
Di hadapannya terhidang seekor ayam golek yang molek.
Perut durjananya memekik kelaparan.
Bagaimana nak makan dengan belenggu yang semakin terik ni?

Rantai yang membelenggunya mulai longgar setelah beberapa ketika, cukup-cukup longgar untuk dia mencapai ayam golek lalu meratahnya.

Perihal yang sama berlaku ke atas anak-anak buahnya.
Sedang dia menikmati ayam golek yang muncul entah dari mana, sebuah hologram besar terlayar di hadapannya.

Matanya difokuskan.

Imej-imej bergerak menunjukkan sebuah kejadian insan-insan yang sepatutnya berpuasa, sembunyi makan dan merokok.

Dia tergelak-gelak.
Dalam satu kejadian yang lain pula,
insan-insan yang sepatutnya berpuasa,
sembunyi menonton video lucah.

Dia tergelak lagi.
Dalam satu kejadian yang lain-lain pula,
insan-insan yang sepatutnya berpuasa,
aurat terdedah, sakan membeli belah,
menghabiskan duit untuk beraya sakan.

Ayam golek kedua muncul lagi di hadapannya sebaik sahaja ayam yang pertama habis diratahnya.

Kali ini, segelas air yang manisnya 1000 kali lebih menginzalkan tekak terhidang sekali.

Dia menikmati seteguk demi seteguk.
Segar. Bugar.

Kudrat yang hilang dimamah kebaikan insani di dunia mulai kembali sedikit demi sedikit. Senyuman sinis mulai terukir.

Hologram di hadapannya terus memainkan sketsa insani di dunia yang puasanya hanya lah menahan lapar dan dahaga tetapi bukan benar-benar puasa.

Cergasnya dia yang terbelenggu itu hasil derma insani di dunia.

Menjelang hari pembebasan, dia berdekah ketawa.
Segala lebam dan luka di badannya serta bala tenteranya sembuh dengan segera.

Ini kerana insani di dunia sangat baik menderma dengan mereka dengan perihal-perihal raya yang diselang-selikan adegan solat sunat yang diutamakan berbanding solat wajib, perihal boros waktu raya dengan menunjuk-nunjuk harta dunia, adegan peluk-memeluk anak muda-mudi yang masih belum halal antara satu sama lain berziarah di hari raya dengan warna sedondon, dan perihal raya bukan lagi raya yang sepatutnya raya.

Dia dan bala tenteranya turut merai hari pembebasan dengan insani, dengan sekali lagi bertenggek di tubir mulut insani menghasut dan memaki, bertenggek di telinga supaya pekak dari nasihat, bertenggek di hati membekukan rasa keimanan, dan bertenggek di kaki dengan beratnya kaki hendak bersolat.

Hari kebebasan untuk semua dalam apa jua definisinya.

Sumber Pakcik Ayie

Ulasan