Jenayah: Pasukan baru polis siasat kes tembak Dinesh




Polis menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat insiden melibatkan seorang pemuda 26 tahun, D Dinesh yang ditembak pasukan itu dalam satu kejadian bulan lalu.

Menurut peguam, Latheefa Koya yang mewakili dua orang saksi dalam kejadian kontroversi itu, polis berbuat demikian selepas beliau menghantar satu surat ke ibu pejabat polis Bukit Aman minggu lalu.

Katanya, kes itu kini berada di bawah bidang kuasa Bukit Aman di bawah seliaan seorang pegawai bernama ASP Borhan.

Latheefa berkata, saksi berkenaan Y Ilavaresan dan K Moses, serta bapa si mati, W Darmasena memberi kenyataan kepada polis Isnin lalu.

Sebelum ini, Ilavarasen dan Moses enggan memberi kenyataan kerana pasukan siasatan itu merupakan pasukan daripada balai polis yang terlibat dengan kejadian tembak-menembak tersebut.

Kedua-dua individu berkenaan berkata mereka memandu dalam kenderaan berasingan dan merancang untuk bertemu Dinesh untuk makan pada malam tersebut, apabila kejadian itu berlaku berhampiran Ampang Waterfront pada kira-kira 2 pagi pada 21 Ogos.

Mereka mendakwa melihat Dinesh keluar daripada kenderaannya berhampiran satu lampu isyarat selepas dihalang oleh dua kenderaan yang tidak bertanda.

Moses mendakwa beliau melihat Dinesh – yang tidak bersenjata – ditembak ketika "berlari semula" ke kenderaannya.

Dinesh meninggal dunia di Hospital Ampang dua hari kemudian pada 23 Ogos.

Post Tag: iskandarX Society Nuffnang Advertlets Google AdSense Bidvertiser Santai Berita Jenayah Bodoh Pelik Gila

Ulasan