Kukuh semangat berpasukan

Malaysia, rencana, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, UTeM, program, Perintis
Peserta Perintis memanaskan badan sebelum program kembara lasak bermula.

SEMANGAT berpasukan merupakan satu elemen penting yang amat dititikberatkan demi mencapai misi dan visi sesebuah organisasi.

Berlandaskan kepentingan tersebut, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini menganjurkan sebuah program yang dikenali sebagai Perintis bertujuan memperkukuhkan semangat berpasukan dan menyuntik pemikiran kreatif dalam kalangan warga kerjanya.

Seramai 120 staf Canselori terlibat dalam program itu, termasuk Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan yang mengikuti keseluruhan modul latihan.

Beliau berkata, Perintis melibatkan aktiviti fizikal, gerak kerja berkumpulan dan program kerohanian yang dianjurkan sepenuhnya di dalam kampus induk menggunakan kepakaran dalaman.

"Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti eco escapade, iaitu program kembara melibatkan beberapa tugasan yang perlu diselesaikan sepanjang perjalanan.

"Peserta dikehendaki melengkapkan tugasan atau cabaran di setiap check point membabitkan kebolehan berfikir secara luar biasa, kesepakatan dalam pasukan serta kekuatan fizikal dan mental," katanya.

Selain itu, peserta turut berpeluang mengikuti aktiviti lasak seperti memanjat tembok tiruan dan flying fox, selain bermalam di dalam khemah di tapak disediakan.

Kemuncak kepada program tersebut, peserta membentangkan idea inovatif secara berkumpulan dalam usaha melonjakkan nama universiti ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, Perintis akan dilaksanakan bergilir-gilir mengikut jabatan dan setiap kemajuan hasil daripada program tersebut akan dinilai secara terperinci bagi memastikan objektif utama dicapai dengan jayanya.


WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2013

Ulasan