Kecacatan, usia bukan halangan

Malaysia, rencana, kecacatan, usia, bukan, halangan
Kecacatan, usia bukan halangan

CACAT anggota badan sama ada kudung kaki, kudung tangan, lumpuh separuh badan dan kekurangan pada anggota badan lain mungkin menjadi penghalang kepada seseorang untuk menggapai impian seperti insan biasa.

Tambahan apabila mengetahui diri mula mengalami kecacatan akibat kemalangan setelah beberapa tahun hidup seperti insan normal menjadikan diri lebih sedih serta rasa putus asa untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, tidak mendapat peluang untuk meneruskan pembelajaran lebih tinggi akibat kekurangan itu sehingga usia ditelan zaman, membuatkan diri seakan sia-sia tanpa ilmu yang berguna pada diri, keluarga dan negara.

Itulah nasib yang perlu ditelan oleh Aisah Hashim, 53, apabila beliau mengalami kecacatan kudung tangan kanan pada usia tujuh tahun.

Namun berbekalkan semangat dan percaya pada kebolehan diri, Aisah dari Telok Panglima Garang hadir ke Program Jom Kursus anjuran Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), Selangor yang diadakan barubaru ini untuk mengubah nasibnya.

Walaupun dirinya kekurangan dari segi fizikal, namun dia tetap tabah menghadapi kehidupan seperti biasa.

Dengan keadaan tangan kanannya yang kudung kerana dipotong akibat jatuh daripada tingkap - beliau tidak mendapatkan rawatan di hospital dengan segera, doktor menyarankan tangannya yang luka teruk itu dipotong demi kesinambungan hidup pada masa hadapan.

Manfaatkan ilmu dipelajari

Aisah yang mengikuti Kursus Pembinaan Blog di KKKL berkata, ilmu yang dipelajari akan dimanfaatkan dengan menceritakan kisah hidupnya sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Walaupun menggunakan sebelah tangan, tetapi saya juga seperti orang lain yang dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa.

“Jadi, saya akan menulis pengalaman dan kehidupan yang saya lalui sebagai OKU dalam blog yang dibina ini nanti,” katanya ketika ditemui.

Selain itu, ibu kepada tiga anak ini adalah salah seorang daripada 180 peserta Jom Kursus KKKL. Inilah yang dikatakan keistimewaan Kolej Komuniti yang tiada pada institut pengajian tinggi lain apabila memberi ruang serta peluang kepada semua golongan tidak kira bernasib baik ataupun tidak untuk menggapai impian.

Berbakti kepada komuniti adalah salah satu usaha dibawa kolej ini sebagai kolej yang membantu golongan luar bandar, terutamanya untuk menuntut ilmu walaupun dilanda pelbagai kepayahan serta faktor usia.

Peserta warga emas

Tambah istimewanya apabila kursus ini bukan sahaja terbuka kepada golongan muda, tetapi warga emas turut diberi kesempatan mengikuti kursus yang ditawarkan mengikut minat masing-masing.

Buktinya, seorang suri rumah yang juga warga emas, Endon Dawi, 72, dari Kampung Chantek berkesempatan mengikuti kursus internet yang ditawarkan.

Katanya, melalui program itu beliau dapat meluangkan masa dengan komuniti dan berasa amat gembira dapat menimba ilmu baru.

“Walaupun sudah berusia, saya gembira kerana dapat ke kolej dan bertemu dengan rakan baru serta menuntut ilmu yang sangat bermanfaat pada diri serta kawan yang lain,” jelasnya.

Dalam program tersebut, KKKL menganjurkan lapan kursus yang dijalankan serentak iaitu Kursus Melayari Internet, Pembinaan Blog, Etika Penampilan Diri, Etika Meja Makan, Kecergasan dan Kesihatan, Pengurusan Masa,  Pengurusan Restoran dan Tarian 1Malaysia.

Selain OKU dan warga emas, Jom Kursus juga mendekati masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Judah, Pulau Carey.

Reena Bidin, 18, berkata, beliau yang pertama kali mempelajari ilmu mengenai internet berasa seronok kerana sebelum ini tidak pernah didedahkan dengan perkara sedemikian.

“Saya dapat mengetahui banyak perkara dengan mengikuti Kursus Melayari Internet.

“Dunia ilmu tanpa sempadan membolehkan saya berhubung dengan ramai orang di luar sana,” katanya ketika ditemui pada kursus tersebut.

Peluang yang perlu direbut

Usaha murni ini akan diteruskan KKKL pada masa akan datang selagi mereka mampu membantu masyarakat mendapatkan pendidikan lebih baik, seterusnya memperoleh pengetahuan baru kerana kolej ini sahaja yang memberi ruang kepada semua golongan untuk mengikuti kursus yang diidamkan.

Pengarah KKKL, Zainah Rujihan berkata, KKKL sentiasa mengalu-alukan semua orang mengikuti kursus di KKKL yang dilengkapi dengan kemudahan cukup dan mempunyai tenaga pengajar mahir.

“Kami juga mengalu-alukan kolaborasi dengan agensi awam, swasta dan industri yang ingin mendapatkan ilmu kemahiran yang ditawarkan,” katanya.

Justeru, kesempatan yang dibuka oleh KKKL ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua golongan, tidak kira kurang bernasib baik ataupun warga emas selagi diri mampu merealisasikan impian masing-masing melalui kursus pendek berkenaan.

Jangan jadikan kekurangan sebagai benteng kuat yang menghalang diri mencapai cita-cita kerana peluang yang ada hanya datang sekali.


NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
20 Februari 2013

Ulasan