Nabila Huda Menyelam Raya Di Kenya, Afrika



KUALA LUMPUR, 1 OGOS 2012: Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita hari ini untuk meraikan Aidilfitri di luar negara. Tidak kira bersama keluarga mahupun sendirian.

Pendekatan serupa dipilih oleh pelakon popular, Nabila Huda yang akan berada di Pulau Watamu, Kenya pada Syawal ke-4 nanti untuk mengutip seberapa banyak pengalaman dan peristiwa sepanjang penjelajahannnya ke sana.

Bercakap kepada portal murai.com.my ketika menjayakan sesi fotografi dan berbuka puasa di Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini baru-baru ini, Nabila Huda berkata dia sangat teruja untuk ke sana kerana merupakan salah satu destinasi impiannya.

"Sudah lama saya teringin melancong sendirian. Ini adalah pertama kali saya ke sana dan sendirian. Bukannya ada apa-apa, cuma ingin melihat kehidupan dan budaya masyarakat di sana yang sangat menarik perhatian saya.

"Mulanya saya merancang untuk ke Goa, India, tetapi memandangkan cuaca pada ketika itu tidak mengizinkan, jadi saya memilih Kenya sebagai pilihan kerana lebih murah, cuaca elok dan banyak aktiviti boleh dilakukan.

"Insya Allah, saya akan sampai ke sana tidak lama lagi selepas menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Inilah masa yang sesuai untuk saya berehat seketika daripada terus memikirkan hal kerja di set penggambaran," katanya teruja.

Jelas Nabila Huda, dia akan berkunjung ke sana sendirian tanpa ditemani sesiapa dan merasai pengalaman berkunjung ke dunia safari serta melihat kehidupan laut di pulau indah berkenaan.

Malah tambah Nabila Huda, Kenya adalah salah satu destinasi yang ingin dikunjungi dalam hidup, bagi merasai sendiri keindahan flora dan fauna negara berkenaan.

"Memang saya tak sabar untuk merasainya terutama melihat dunia safari di dalam khemah seperti yang sering saya lihat di dalam program National Geography. Alhamdulillah dengan lesen menyelam yang saya ada, jadi saya juga akan menyelam untuk melihat safari laut di sana nanti," katanya.

Jelas Nabila Huda lagi, sempena kunjungannya itu juga dia akan cuba merakamkan segala perjalanan percutiannya di sana menggunakan kamera SLR dari model Canon 5D miliknya yang mungkin boleh dikongsikan bersama peminatnya di tanah air.

"Itulah perancangannya. Saya akan merakamkan segala aktiviti saya di sana nanti dan jika ada pihak yang berminat untuk menjadikan rakaman perjalanan saya itu sebagai program TV, ia merupakan satu bonus buat saya.

"Tapi itu bukanlah tujuan saya sebenar kerana saya memang mahu merakamkannya dan berkongsi dengan sesiapa terutama peminat yang mahu melihat aktiviti saya di sana,"kata anak kepada lagenda rock Amy Search itu.

Ulasan