Erra Fazira Hairan Cerita Tentang Dirinya Diada-adakan



KUALA LUMPUR, 3 OGOS 2012: Mungkin ada yang tersalah tafsir tentang kisah rumahtangga yang sedang dilalui oleh aktres cantik, Erra Fazira. Lebih-lebih lagi bila ada pihak media yang melaporkan bahawa Erra Fazira kini sedang membuat persiapan raya bersama suami, Engku Emran dan anaknya, Engku Aleesya.

Kala ditanya Portal Murai mengenai hal ini, Erra nyata terkejut.. Dia yang ditemui di majlis pelancaran program Aidilfitri di Astro malam semalam juga berasa hairan bagaimana cerita sebegini boleh tercetus kerana setahunya dia tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.

"Dari mana awak dapat cerita macam ini. Rasanya saya tidak ada buat sebarang kenyataan sebegitu. Mungkin ada yang salah baca dan ada yang salah faham.Bagi saya fitnah dan spekulasi ini ada yang betul dan ada yang tidak, jadi tidak usahlah nak dipanjangkan. Orang sekadar boleh bercakap namun kebenarannya bukan mereka yang tahu.

"Cerita-cerita sebegini tak payah nak panjang-panjang, nak ulas pun nanti sampai kepada pihak lain, lain pula ceritanya. Lebih baik diam, buat kerja dan tunggu dan lihat sahajalah apa yang akan berlaku nanti," tegas Erra mengenai cerita kurang elok yang digembar-gemburkan mengenai kisah rumahtangganya.

Dalam pada itu persiapan raya Erra belum lagi bermula sepenuhnya kerana dia masih lagi sibuk berlakon dan menguruskan peniagaan hamper rayanya.

"Adalah juga order kuih-kuih raya sikit dulu, belum buat persiapan yang rapi lagi. Pulang beraya ke mana pun belum tahu lagi. Selalunya seperti tahun-tahun lalu, saya akan lebihkan persiapan raya untuk Aleeysa. Setakat ini adalah beberapa helai baju yang sudah saya beli. Untuk diri sendiri belum lagi,"ujarnya yang sering mengadakan persiapan raya ketika hari mulia itu bakal tiba.

Ulasan