Dibelasah tak tabik




KUALA LUMPUR: Hanya kerana tidak mengenali pegawai yang masuk ke kem tanpa pakaian seragam, seorang anggota tentera yang ditugaskan di pondok pengawal cedera dibelasah pegawai itu yang dipercayai tidak berpuas hati kerana mangsa gagal memberi tabik hormat.

Malah, mangsa dikatakan dibelasah dua lagi pegawainya yang menerima laporan tindakan mangsa itu menyebabkannya pengsan, Sabtu lalu.

Difahamkan, Ahmad Abu, 21, baru seminggu ditugaskan di 71 Rejimen Semboyan Diraja (71 RSD) Kem Sungai Besi, di sini, dari 72 Skuadron Semboyan Diraja (72 SSD) Kem Imphal.

Ahmad yang mengalami pendarahan dalam kepala, bengkak badan dan tangan diterajang tiga pegawai terbabit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), awal pagi Sabtu lalu untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan masuk ke wad biasa petang keesokannya.

Menceritakan kejadian itu, Ahmad mendakwa bertugas di pondok pengawal pada jam 1 tengah hari, Sabtu lalu sebelum sebuah kereta dinaiki seorang lelaki berpakaian biasa memasuki kem.

“Dia memberhentikan kereta dan menghampiri saya. Dia mendakwa seorang pegawai dan memarahi saya kerana tidak memberi tabik hormat.

“Dia menendang perut dan membelasah saya bertubi-tubi. Selepas itu, pada jam 2 petang, saya dipanggil ke kem dan dibelasah pula dua pegawai lain menyebabkan saya sakit perut dan pening,” katanya.

Menurutnya, dia dibawa ke bilik rehat kerana kesakitan, tetapi pengsan ketika rakannya mahu membawanya pulang ke bilik pada jam 6 petang.

Ahmad kemudian dihantar ke PPUKM untuk rawatan dan dimasukkan ke ICU akibat kecederaan dalaman.

Bapanya, Abu Koming, 53, berkata, dia menerima panggilan pegawai kem memaklumkan anaknya itu dirawat di PPUKM kerana pengsan.

“Saya mulanya tidak tahu anak dipukul. Saya dan isteri Rahmah Budug, 54, segera ke PPUKM untuk melihat keadaannya, namun sebaik tiba, doktor memaklumkan dia disyaki dipukul.

“Saya terkejut dan menunggu Ahmad sedar dari koma pada jam 4 petang, Ahad lalu yang menceritakan kejadian itu,” katanya.

Abu membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi pada hari sama.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan (Kementah) berkata, siasatan lanjut mengenai insiden itu masih dijalankan kerana pihaknya perlu mengenal pasti kejadian itu secara menyeluruh sebelum laporan lengkap diperoleh.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohan Singh Tara Singh mengesahkan kejadian.

Tak tabik pun tak pa kalau pegawai macam tu punya perangai macam haram jadah tu. Itu pegawai, yang General-general sekarang pulak penakut, dalam kem bukan main lagi hebat gagah perkasa dan cenggey, tapi bila berdepan untuk permasalahan dalaman, diam tunduk hilang taring. Pegawai-pegawai nie hebat dalam kem ja kat luar teloq pun tarak. is jumpa belambak nak kata kuat bertempur takat TTS tu simpan la. lagi satu masuk kem nak dihormati, tapi tak pakai seragam, dah langgar protokol bodoh. Guard patut leh cekah senapang kenapa leh biar walau pun pegawai hampiri dengan tak pakai seragam?

Ulasan