Sharifah Shahora Selesa Bersama Geng Surau


Selesa muncul di musim kedua, drama bersiri popular di Astro Oasis, Geng Surau, pelakon wanita, Sharifah Sahora mengakui watak yang dilakonkannya dalam siri tersebut berbeza daripada yang pernah dijayakannya.

Kata Shahora, menerusi drama tersebut, dia membawa watak seorang guru bahasa Inggeris yang memerlukannya menjadi seorang yang lebih serius.

“Saya membawa watak seorang guru bahasa Inggeris bernama Miss Mona. Wataknya memerlukan saya menjadi seorang yang baik dan manis. Ada karekter lucu tapi mengikut skrip. Selalu saya membawakan watak lucu, dan saya akan menambah sendiri supaya lebih lucu  dan tidak mengikut skrip.

“Tapi menerusi drama ini saya lebih serius namun ada lucunya. Cuma lucu itu mengikut skrip dan tiada pertambahan lain,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai drama bersiri tersebut, kata Shahora siri itu sememangnya mempunyai mesej yang berguna serta begitu dekat dengan masyarakat Melayu.

“Sebelum terlibat memang saya tidak ikuti drama ini, namun setelah terlibat sememangnya seronok. Drama bersiri tersebut setiap minggu menampilkan cerita baru dan semuanya mempunyai mesej berguna.

“Malah paling penting, paparan cerita yang ada dalam Geng Surau begitu dekat dengan masyarakat kita dan itu antara punca utama, ia amat diminati ramai,” jelasnya lagi.

Telah pun tamat penggambaran kata Shahora, sepanjang bersama team Geng Surau, sememangnya dia selesa dan begitu dekat dengan kesemua yang terlibat.

“Walaupun penggambarannya diadakan secara berterusan dan penat namun kami semua sudah seperti satu famili. Sangat seronok apabila kita dapat berpeluang menyertai mereka dan saya begitu gembira kerana drama tersebut sememangnya sebuah drama bersiri yang banyak mempunyai tauladan,” ucapnya.

Hmm, jangan asyik seronok je tapi tauladan yang diberi tak gunakan langsung, apa kata Sharifah Shahora pakai tudung pulak lepas nie? Ubah imej dan penampilan mesti kelihatan ayu kan?


Ulasan