Santai Ekonomi BURSA MALAYSIA: Harga Saham Kekal Rendah Pada Tengah Hari


Saper yang ada membuat perlaburan dalam saham dengan Bursa Malaysia leh baca petikan berita nie kat bawah nie.


KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Harga saham di Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah berikutan kekurangan minat belian, kata para peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.52 mata atau 0.03 peratus kepada 1,632.05.

Mereka berkata kebimbangan pelabur akan krisis hutang zon euro sekarang tercetus semula di tengah-tengah keputusan pendapatan korporat AS yang mengecewakan.

"Secara umumnya, aliran itu masih bulis, tetapi momentum jangka pendek terus turun kerana indeks FBM KLCI masih terlebih beli dalam tempoh jangka pendek," kata Alliance Research, pada Rabu.

Bagaimanapun, indeks itu mungkin terus menurun sekiranya ia terus jatuh ke paras sokongan seterusnya pada 1,615 mata, kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.

Di bursa tempatan, Indeks Kewangan naik 7.2 mata kepada 14,665.08, tetapi Indeks Perladangan susut 19.739 mata kepada 8,760.23, manakala Indeks Perusahaan turun 10.11 mata kepada 2,860.21.

Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas berkurangan 10.729 mata kepada 11,164.91, Indeks Malaysia Mid 70 turun 39.18 mata kepada 12,291.36 dan Indeks FTSE Bursa Malaysia Ace susut 14.88 mata kepada 4,270.6.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 393 berbanding 201 manakala 285 kaunter tidak berubah, 716 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Sejumlah 718.314 juta saham bernilai RM1.497 bilion diniagakan.

Di kalangan saham cergas, IHH Healthcare Bhd, penyenaraian IPO ketiga terbesar di dunia tahun ini, naik 34 sen kepada RM3.14.

Cybertowers dan Censof susut satu sen setiap satu masing-masing kepada 36.5 sen dan 46 sen.

Saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.72, Sime Darby susut satu sen kepada RM9.92 dan CIMB naik satu sen kepada RM7.86.

-- BERNAMA

Ulasan