Lebih 70,000 Pelajar Ikuti Subjek Bahasa Iban Di Sarawak

KUCHING, 28 Julai (Bernama) -- Sebanyak 71,581 pelajar di Sarawak sedang mengikuti kelas bahasa Iban sebagai satu subjek yang dipelajari di sekolah, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, 48,969 pelajar sedang mengikuti subjek tersebut di peringkat sekolah rendah manakala 22,612 di sekolah menengah.

Subjek itu kini diajar di 693 sekolah rendah dan 95 sekolah menengah di negeri ini, katanya pada Seminar Pembangunan Pengajaran Bahasa Iban anjuran Jawatankuasa Sosial dan Rekreasi Saribas di sini.

Jabu, yang juga Pengerusi Yayasan Kebudayaan Dayak Sarawak, berkata bahasa Iban telah mendapat pengiktirafan dengan penawarannya sebagai kursus pilihan di peringkat diploma dan ijazah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) sejak tahun lalu.

Katanya Institut Pendidikan Guru di Bintangor, dekat Sibu turut memulakan program Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bahasa Iban yang diikuti 25 siswazah.

"Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk melahirkan lebih ramai orang yang berkelayakan mempunyai pengkhususan dalam bahasa itu dan kami menjangkakan jumlah pelajar sekolah mengambil subjek itu meningkat," katanya.

Sebanyak 200 peserta mengambil bahagian dalam seminar sehari itu yang bertujuan menonjolkan perkembangan pengajaran bahasa Iban di sekolah.

-- BERNAMA


Ulasan