Kopeks Tawar Pinjaman Istimewa Hari Raya Sehingga RM15,000 Untuk Penjawat Awam Sabah

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) menawarkan pinjaman istimewa sehingga RM15,000 kepada semua penjawat awam di negeri ini sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri Ogos ini.

Pengerusi Kopeks Datuk Maznah Abdul Ghani berkata pinjaman itu terbuka kepada semua kakitangan awam yang menganggotai Kopeks, termasuk yang bukan Islam.

"Tempoh bayaran pinjaman boleh dibuat sehingga 11 tahun. Bayaran bulanan rendah dan proses juga cepat iaitu pinjaman boleh dikeluarkan dalam masa 24 jam.

"Syarat utama ialah mesti ada salinan kad pengenalan, slip gaji dan surat pengesahan gaji oleh majikan. Penjawat awam yang belum menjadi anggota dan baharu memohon menganggotai Kopeks juga boleh memohon terus," katanya kepada pemberita di Wisma Kopeks di sini Jumaat.

Bagaimana pun, Maznah berkata skim pinjaman itu hanya ditawarkan selama sebulan bermula hari ini sehingga hari raya.

-- BERNAMA

Ulasan