Bursa Malaysia Dijangka Pamerkan Lantunan Semula Teknikal Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Harga-harga saham di Bursa Malaysia mungkin memperlihatkan lantunan semula teknikal minggu depan, disokong oleh sentimen global yang lebih baik, kata para peniaga.

Mereka berkata pasaran akan kembali menggalakkan sekiranya Bank Pusat Eropah (ECB) campur tangan dalam pasaran-pasaran ini, diikuti dengan pemulihan yang lebih baik di Sepanyol dan Itali.

Pada urus niaga Jumaat, indeks global, MSCI All World, mencatatkan keuntungan terbaik satu harinya dalam tempoh dua minggu ini, dengan mengakhiri sesi urus niaga 2.3 peratus lebih tinggi, sekali gus kembali pulih daripada trend menurun selama lima hari sebelumnya.

Sementara itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mungkin mendapat sokongan pada paras 1,620 dan diniagakan secara sederhana, kata Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan.

Beliau berkata ekuiti global mendapat rangsangan ekoran komen yang tanpa dijangkakan daripada Presiden ECB Mario Draghi yang menyatakan bank akan campur tangan untuk mempertahankan rantau ini daripada musnah.

"Ikrar ECB itu menjuruskan kepada kehendak risiko dan membantu komoditi dan pasaran ekuiti untuk menggantikan kerugian awal," kata beliau kepada Bernama.

Nazri berkata beberapa gabenor ECB lain yang menyokong cadangan untuk meminjam tanpa had daripada ECB di bawah dana suntikan Mekanisme Kestabilan Eropah bagi membantu Sepanyol dan Itali turut merangsangkan sentimen.

"Keputusan suku kedua dan jangkaan belanjawan 2013 akan menjadi pemacu utama untuk pasaran meluas tempatan," kata beliau.

Berdasarkan kepada perbandingan Jumaat-Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup 18.06 mata lebih rendah pada 1,624.94.

Indeks Kewangan merosot 36.17 mata kepada 14,655.04, Indeks Perindustrian turun 20.11 mata kepada 2,854.51, Indeks Perladangan lebih rendah 147.9 mata kepada 8,717.03 dan Indeks FBM Emas jatuh 138.65 mata kepada 11,118.82 daripada Jumaat lepas.

Indeks FBM ACE menambah 45.15 mata kepada 4,345.75.

Indeks FBM Mid 70 turun 217.24 mata kepada 12,240.64 dan Indeks FBM 100 mengakhiri minggu ini 135.42 mata lebih rendah pada 10,938.23.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 5.212 bilion saham bernilai RM8.744 bilion daripada 5.916 bilion saham bernilai RM8.29 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di pasaran utama berkurangan kepada 3.983 bilion saham bernilai RM8.521 bilion daripada 4.006 bilion saham bernilai RM7.902 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di pasaran ACE lebih rendah kepada 820.373 juta saham bernilai RM166.148 juta daripada 1.367 bilion saham bernilai RM301.518 juta minggu lepas.

Waran turun kepada 381.629 juta unit bernilai RM47.276 juta daripada 522.619 juta unit bernilai RM79.566 juta minggu lepas.

-- BERNAMA

Wah banyak nya mata dok naik dan turun, pastikan Bursa Malaysia pukul lagi ligat yerr??? Sian kat orang Malaysia.

Ulasan