Azie Intai Peluang Untuk Bina Nama



Lima tahun mencari tapak dalam bidang lakonan, kini Azie bersyukur bakat dan lakonannya semakin dikenali. Semakin selesa dengan jalan kerja yang dipilihnya kata Azie semuanya berlaku secara tidak sengaja awalnya.

"Saya memang tidak menyangka akan menjadi pelakon kerana sebelum ini saya hanyalah seorang model. Satu hari saya dengar pengarah Aziz M.Osman mahu pelakon baru dan terus saya mencuba nasib. Tanpa di sangka akhirnya saya terpilih dan drama pertama lakonan saya ialah Kapten Kit,"katanya.

Jelas pemilik nama sebelah Norazilah Yahya ini, selepas percubaan pertama kalinya berjaya, membuatkan dia yakin untuk bergerak dengan lebih jauh dalam bidang tersebut.

"Selepas percubaan pertama, saya mula rasa seronok dan telah berlakon banyak drama-drama yang disiarkan di Astro antaranya Awan Dania 3, Tiada Yang Kedua, Madu 1..2..3. Terbaru drama lakonan saya disiarkan di Astro Warna iaitu Kuat, Kuli Dan Kupang," terangnya lagi.

Malah kata anak kelahiran, Kuala Terengganu ini, sepanjang lima tahun menceburi bidang lakonan, pelbagai watak telah dijayakannya. Mengetahui masih ramai yang mengenalinya, kata Azie, seboleh mungkin dia akan cuba mengasah bakat dan membiarkan masa menjadi jurinya kelak.

"Saya telah mencuba pelbagai watak sepanjang terlibat dalam dunia lakonan. Tapi saya tahu nama saya masih lagi baru dan hijau dalam dunia seni ini. Tidak mengapa kerana saya yakin dengan kerja keras, saya pasti boleh berjaya satu hari nanti," ucapnya.

Sementara itu, ditanya mengenai pembabitannya dalam drama Kuat, Kuli Dan Kupang yang baru disiarkan di Astro Warna jam 10 semalam, kata Azie, drama tersebut sebuah cerita yang menarik dan lucu.

"Pengalaman terlibat dalam drama tersebut memang menyeronokkan. Kesemua pelakon memberi kerjasama yang baik antara satu sama lain. Saya juga senang berlakon bersama Pierre Andre, Farah Dhiya dan yang lain-lain," jelasnya.

Alamak belakon dengan Pierre Andre?? Hehehehe amacam best tak?

Ulasan