Soo Wincci Buat Album Melayu Judul Terus Teranglah


KUALA LUMPUR, 18 JULAI 2012: Wanita ini adalah seorang ratu cantik yang wajar dijadikan role model oleh para gadis di luar sana. Apa tidaknya, penyandang gelaran Miss Malaysia/World 2008/2009 ini langsung tidak mengenal erti lelah dalam melengkapkan portfolio kerjaya seninya supaya ia menepati dengan gelaran yang diperolehnya itu.

Mula mendapat tempat di hati peminat Melayu selepas muncul dalam Masterchef Selebriti Malaysia, kini tanpa membuang masa, Soo Wincci cuba memanfaatkan peluang ini dengan melahirkan sebuah album berbahasa Malaysia untuk mendekatkan dirinya dengan peminat daripada kaum Melayu.

Album yang berjudul Terus Teranglah ini bagaimanapun telah dihasilkan sebelum Soo Wincci menyertai rancangan realiti Masterchef Selebriti lagi, namun dengan tidak disangka-sangka nasib terus menyebelahinya apabila dia terus popular menerusi rancangan tersebut dan ia nyata memudahkan lagi dirinya untuk tampil dengan album tersebut.

Terus teranglah yang dihasilkan dengan kolaborasi bersama komposer dan penulis lirik hebat tempatan iaitu Ajai memberikan ruang kepadanya untuk mempelajari pelbagai teknik dan corak nyanyian lagu Melayu dengan cara yang betul.

"Saya memang sudah lama menyanyi dan saya sudah ada tiga album dalam bahasa Cina sebelum ini. Namun, saya juga sering menyanyikan lagu-lagu Melayu jika memenuhi sebarang undangan nyanyian. Antara lagu yang jadi pilihan adalah Bukan Cinta Biasa, Seindah Biasa daripada Dato' Siti Nurhaliza dan juga Gemilang oleh Jaclyn Victor.

"Keinginan saya untuk memiliki album Melayu kini sudah tercapai dengan hasil dan bantuan daripada Ajai dan Wake The Baby. Saya rasa bersyukur kerana penglibatan dalam Masterchef Selebriti Malaysia berjaya membantu mempromosikan nama Soo Wincci di kalangan peminat kaum Melayu,"ujar wanita berusia 27 tahun yang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang perundangan ini.

Bagi anak jati Kuala Lumpur ini, dia bukan saja mengimpikan untuk berjaya di Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa juga. Namun, baginya setiap kejayaan itu haruslah datang dengan usaha yang gigih untuk terus kekal dalam industri ini.

"Impian saya adalah untuk berjaya ke peringkat antarabangsa, tetapi biarlah saya berjaya dahulu di Malaysia. Secara tidak langsung nanti orang akan tahu Soo Wincci itu berasal daripada Malaysia dan saya menjadikan Datuk Michelle Yeoh sebagai idola saya," tambahnya lagi kepada murai.com.my.

Album yang memuatkan 4 lagu daripada genre berbeza ini akan dilancarkan sepenuhnya pada September tahun ini dan Terus Teranglah adalah single pertamanya bersama rapper terkenal, Joe Flizzow.

Soo Wincci juga turut menunjukkan bakat dalam penghasilan lagu bagi lagu Musim Asmara di mana turut dia bergandingan bersama Ajai menghasilkan melodi untuk lagu tersebut.

Dia yang tercalon bagi kategori Best Newcomer Actress dalam Golden Award 2012 yang bakal berlangsung hujung tahun ini baru sahaja selesai menjayakan penggambaran bagi telemovie sempena Aidilfitri yang berjudul Lemang Sebatang bersama barisan pelakon tempatan lain.

Owwhh, mesti beli album ini, belilah yang original, jangan beli cetak rompak ok? Kesian Soo Wincci, nyanyi penat-penat bahasa Melayu.


Ulasan